Halaman

15 November 2011

Pelajar Besut jelajah Negara Arab

Oleh: Mohammad Ishak


Lima pelajar elit lelaki dari sekolah menengah daerah Besut berpeluang mengenali beberapa negara Arab dan London sempena Program Ekspedisi Jejak Hidayah selama sebulan mulai 17 November ini.

Program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Besut dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Besut (MBDB), Kerajaan Negeri Terengganu dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terbabit mengenai budaya hidup rakyat di negara berkenaan.

Ketua Ekspedisi, Mohd Zaharani Omar berkata, projek berkenaan dirancang sejak awal tahun ini memberi peluang kepada pelajar terpilih melawat beberapa negara Timur Tengah termasuk Mesir,Turki,Jordan dan London dalam misi jelajah untuk menghayati tempat bersejarah perjuangan pemimpin Islam.

Katanya, ketika berada di negara terbabit pelajar akan di bawa melawat beberapa tempat bersejarah yang mempunyai kaitan dengan pemerintahan Islam zaman silam bertujuan meningkatkan kualiti pengetahuan dalam aspek sejarah dan peradaban Islam.

Menurutnya, antara tempat yang bakal dilawati pelajar termasuklah kesan peninggalan Destinasi Firaun, kesan peninggalan Nabi Muhammad, kawasan kejatuhan empayar Islam di Mesir, peninggalan sejarah Rom Purba dan beberapa tempat lain.

Mohd Zaharani berkata, ekspedisi antarabangsa pertama kali dianjurkan oleh pihak terbabit diharap dapat meningkatkan lagi penetahuan pelajar selain ketahanan jati diri ketika tinggal di negara terbabit.

“Kami sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Luar dan semua tempat yang dikunjungi peserta akan membuat kunjungan hormat kepada pejabat kedutaan negara,” katanya.

Selain pelajar,katanya, ekspedisi itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad yang juga Pengerusi MBDB dan dua guru lain yang bertindak sebagai fasilitator dan jurugambar.

Beliau berkata eksedisi itu juga dapat membuka minda pelajar selain meralisasikan usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu negeri anjung ilmu.