Sebanyak 32 lagi gelanggang futsal bernilai RM150,000 setiap satu bakal dibina di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu awal tahun depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, dengan peruntukan keseluruhan hampir RM5 juta, pembinaan gelanggang itu bagi meningkatkan pembangunan sukan dengan menyediakan lebih banyak prasarana di bidang tersebut.
Sebelum ini katanya, kerajaan negeri memperkenalkan program ‘Satu DUN Satu Gelanggang Futsal’ dengan menyediakan peruntukan RM350,000 bagi setiap DUN untuk tujuan itu.
“Memandangkan sambutannya cukup baik dikalangan orang muda khususnya golongan wanita, kerajaan tiada pilihan lain melainkan menambah kemudahan percuma itu bagi menjadikan satu DUN dua gelanggan futsal.
“Walaupun kosnya lebih rendah, ia lebih selesa kerana ruangnya yang terbuka dan masih boleh digunakan pada waktu malam dengan kemudahan lampu yang mengcukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian gelanggan futsal DUN Bukit Tunggal yang bernilai RM350,000 dan Balairaya Kampung Bukit Tunggal bernilai RM150,000 di kampung berkenaan, Kuala Terengganu, petang semalam.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Ismail Nik.
Pada tahun 2007, kerajaan negeri melaksanakan dasar “Satu Parlimen Satu Futsal” di mana RM1.2 juta sudah dibelan jakan bagi tujuan berkenaan.
“Sejajar dengan matlamat kerajaan menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan yang tinggi, kerajaan negeri akan meningkatkan pembangunan sukan dengan menyediakan peruntukan khusus untuk golongan belia.
“Untuk bajet tahun depan yang dibentangkan awal Disember ini, kerajaan negeri akan mengumumkan satu peruntukan besar untuk golongan belia ,” kata Dato Seri Ahmad yang dalam Program Turun Padang sehari di DUN Bukit Tunggal.
Sejurus selepas itu, beliau solat Asar bersama jemaah Masjid Kampung Pengkalang Arang sebelum mengunjungi beberapa rumah keluarga miskin di Kampung Batu Enam dan Tuan Mandak.
Kemudian, Menteri Besar bersama rombongan terbabit menyaksikan perlawanan tarik tali serta menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam program Sukan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.