Halaman

13 November 2011

Pemimpin kanan Pas bakal keluar parti

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pas bakal kehilangan beberapa pemimpin kanannya yang bakal keluar parti itu tidak lama lagi kerana hilang keyakinan terhadap perjuangan Pas yang kini sudah jauh menyeleweng daripada matlamat asal penubuhan.



Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mohammad Fairus Khairuddin, berkata seorang daripada pemimpin kanan Pas di Selangor meluahkan hasrat tersebut kepada beliau dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini.

“Pemimpin Pas berkenaan sudah tidak tahan lagi berada dalam Pas kerana parti itu sudah jauh menyimpang daripada matlamat perjuangannya, terutama melibatkan hubungan dengan parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP,” katanya pada ceramah isu-isu semasa di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, malam tadi.



Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Dato' Seri Hj Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan pemimpin-pemimpin Umno bahagian Kuala Nerus serta penduduk sekitar kawasan itu.

Dr Mohammad Fairus berkata, pemimpin kanan Pas tersebut kesal dengan pelbagai isu semasa yang berkaitan dengan hubungan Pas dan Pakatan Rakyat yang menampakkan parti tiu tunduk kepada kehendak DAP, termasuk isu murtad di Selangor.

Tambahan pula, katanya, kini imej Pas turut terjejas berikutan isu seksualiti Merdeka yang ditimbulkan Pengerusi Gabungan Pilihan Bersih dan Adil, Datuk Ambiga Sreevanesan.

“Pemimpin kanan Pas kesal kerana pemimpin parti itu seolah-olah membiarkan mereka menjadi kuda tunggangan DAP, sedangkan mereka berdepan isu besar yang melibatkan akidah umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat tempatan, terutama golongan muda supaya menolak Pas dan Pakatan Rakyat yang tidak lagi relevan dengan perjuangan Islam, sebaliknya memberi sokongan kepada Umno yang secara terang berusaha meningkatkan syiar Islam sejak dahulu hingga sekarang.