Halaman

14 November 2011

Kunjungan MB singkap cerita lama

Oleh; Esah Abdullah

Kunjungan pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke rumah mantan ketua Kampung Banggol Pauh, Bukit Tunggal telah menyingkap cerita lama kerana dulu dia sering turun naik pejabat Dato’ Seri Haji Ahmad (Kerajaan Tempatan) untuk menyelesaikan masalah tanah penduduk kampung.



Haji Ngah Abdullah, 87, dilihat tergamam bila menyedari Menteri Besar muncul di rumahnya kerana tidak menyangka menerima tetamu istimewa itu dan matanya berkaca bila Dato’ Seri Haji Ahmad mengengam erat tangannya.

“Ingatan ayah tidak begitu baik sekarang kadang-kadang ingat kadang-kadang tidak, tapi bila sebut ‘UMNO’ riak wajahnya bertukar ceria,” kata anak sulong Haji Ngah, Puan Khamisah Ngah,61.

Pada zaman kegemilangan politik sekitar tahun 50an, bapa kepada 18 orang anak ini begitu aktif dalam politik dan merupakan rakan karib mantan Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri.

Haji Ngah menjadi ketua kampung lebih 30 tahun dan telah melepaskan jawatan berkenaan pada 2004 kerana uzur dan dia turut kehilangan orang tersayang iaitu isterinya Hajah Esah Harun yang meninggal dunia pada 2005.



Dato’Seri Haji Ahmad dalam rangka lawatan sehari ke DUN Bukit Tunggal turut berkunjung ke rumah bekas Ketua Kampung Banggol Limau, Haji Mohamad Mat Amin, 91, dan singgah ke rumah warga emas Encik Wahab Abu Bakar, dari Kampung Gong Setul yang sedang uzur.