Terengganu bersedia menghadapi ancaman banjir lebih kritikal berbanding tahun sebelum ini dengan tambahan bantuan sebanyak RM400,000 menjadikan keseluruhan bantuan bernilai RM1.1 juta kini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Zuhami Omar memberitahu, bantuan tambahan itu kini berada di Stor Simpanan Banjir JKM di Pulau Kerengga, Marang sebagai langkah menghadapi keadaan terburuk.
Manakala bantuan bernilai RM700,000 yang sudah disediakan lebih awal pihaknya, menurut Zuhami ia sudah dihantar di 131 pengkalan hadapan di seluruh daerah di negeri ini bagi menghadapi bencana tersebut.
“Dalam masa sama kita juga sudah berbincang dengan pembekal-pembekal lain termasuk pasar raya besar di negeri ini yang bersedia memberikan stok mereka sekiranya diperlukan nanti,” katanya semalam.
Jelasnya, banjir mungkin berlaku bila-bila masa ekoran keadaan cuaca tidak menentu dan penduduk di Pantai Timur sedang melalui musim tengkujuh yang pada kebiasaannya akan berlaku banjir.
Dalam pada itu, katanya, cuti kakitangannya seramai kira-kira 600 orang juga telah dibekukan sejak 8 November lalu sebagai persediaan untuk membantu mangsa banjir dan tiada tarik bila arahan itu akan ditarik balik.
“Apa yang pasti, arahan itu hanya akan ditarik balik selepas banjir reda dan semua penduduk yang memerlukan bantuan sudah tidak memerlukannya lagi,” katanya.
Sementara itu, katanya, sebanyak 353 pusat pemindahan banjir telah disediakan di negeri ini yang boleh menampung sehingga 52,000 mangsa pada satu-satu masa.