Halaman

14 November 2011

TED elak penyu pupus

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Perikanan Negeri Terengganu bercadang menggalakkan nelayan di negeri ini menggunakan Peranti Penyisih Penyu (TED) pada pukat tunda udang sebagai satu usaha mengelak kepupusan penyu.

Pengarahnya Encik Zakaria Ismail berkata, langkah itu penting kerana penggunaan pukat jenis tersebut dikenal pasti sebagai punca utama penyu terperangkap dan mati.
Menurutnya, masalah serupa turut berlaku secara meluas di negara-negara lain sehingga menyebabkan reptilia tersebut mengalami ancaman kepupusan.

Encik Zakaria berkata, peraturan seumpama itu telah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) supaya negara-negara pengeksport hasil tangkapan laut menggunakan TED pada pukat tunda mereka.

“Tanpa TED hasil tangkapan udang adalah dilarang untuk dieksport ke AS dan peraturan ini adalah merujuk kepada US Shrimp Import Embargo yang berkuatkuasa pada 1996,” katanya.

Katanya, peranti ini diperbuat daripada keluli dan boleh dipasang pada bot-bot pukat tunda bagi memastikan hanya hidupan laut seperti ikan, sotong, udang sahaja yang ditangkap.

Peralatan yang dianggarkan berharga RM650 sebuah itu telah lama digunapakai di negara luar termasuk AS, Mexico dan Australia.