Kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan Program English Teaching Assistant (ETA) pada tahun depan bertujuan meningkatkan penguasaan dan pencapaian bahasa Inggeris di kalangan pelajar di Terengganu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Mazlan, berkata ETA yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah terpilih di negeri ini bakal diperluaskan ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai pelajar terbilang yang mampu menguasai bahasa Inggeris secara lebih mendalam.
Katanya, melalui konsep pembelajaran ETA, setiap pelajar nyata lebih berani menjawab soalan, tidak gentar membentang hasil kerja dan gemar menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan penggunaan bahasa berkenaan.
“Di Terengganu, program seumpama ini sudah enam tahun dilaksanakan, bermula 2006 di mana setiap tahun terdapat 10 hingga 12 sekolah menengah dipilih untuk memberi ruang kepada pelajar universiti di Amerika Syarikat mengajar di sekolah itu.
“Inilah sebahagian daripada usaha murni yang dilakukan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini di mana sebahagiannya tidak dilakukan di negeri lain,” katanya.
Menurutnya, justeru itu, tidak hairanlah jika negeri ini mencapai keputusan cemerlang pada setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan dan ini menjadikan kita dicemburui negeri-negeri lain.
“Sebagai tanda penghargaan, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih atas segala usaha yang dilakukan pemipin kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu,” katanya.