Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

13 November 2011

Negara Brunei minat laksana program hafazan


Pemangku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran al-Quran KHEAB, Pengiran Haji Haslin Pengiran Haji Ali bersama Dato' Haji Mazlan Ngah (kanan) ketika mengadakan kunjung hormat ke pejabatnya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh; Esah Abdullah

Kementerian Hal Ehwal Agama Negara Brunei Darussalam (KHEAB) berminat mendalami program hafazan yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu (YT) dan Institut al-Quran Terengganu (IQT) di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, kejayaan kerajaan negeri melaksanakan program berkenaan mendapat perhatian kerajaan Brunei dan telah menghantar wakil untuk melihat dari dekat pelaksanaan program itu.


“Mereka ingin melihat lebih dekat bagaimana kita melaksanakan program berkenaan serta mampu melahirkan ramai hafiz Quran di peringkat sekolah menengah,” katanya kepada Teganukita selepas menerima kunjung hormat rombongan KHEAB di pejabatnya hari ini.

“Secara kebetulan Pusat Pengajian dan Penyebaran al-Quran (PPPQ) negara berkenaan telah diasaskan oleh orang Terengganu iaitu Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad yang kini menjadi Imam Besar Masjid Negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Brunei juga turut mempraktikkan usaha kerajaan negeri menjemput Imam dari Mekah untuk mengimamkan solat terawih sepanjang bulan Ramadan lalu.

Rombongan terdiri lima orang pegawai dari Pusat Pengajian dan Penyebaran al-Quran KHEAB itu diketuai Pemangku Pengarahnya, Pengiran Haji Haslin Pengiran Haji Ali dalam rangka lawatan tiga hari ke Terengganu bermula semalam.

Turut serta, Penolong Kanan Pegawai Pelajaran Institut Tahfiz al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Abd. Hafeiz Nuh Al-Hafiz; Pegawai Agama PPPQ, Dayang Hajah Noraidah Rabaha; Hajah Noor Khatijah Pengiran Zidi dan Haji Mohammad Khairil Faizal Awang Bakar.

Sepanjang berada di negeri ini mereka akan diberi taklimat mengenai peranan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Islam Terengganu (YIT), YT dan IQT.

“ Tasik Kenyir, Noor Arfa Batik dan Pasar Payang juga turut dikunjungi bagi melihat perkembangan industri kraf dan pembangunan pelancongan yang ada di sini,” katanya.