Halaman

19 November 2011

Zoo Kemaman bertaraf antarabangsa

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kemudahan di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman akan ditingkatkan secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi standard piawaian antarabangsa, sekaligus menjadikannya zoo bertaraf dunia.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan RM50 juta disediakan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 bagi menambah bilangan haiwan serta pelbagai kemudahan bagi menempatkan lebih banyak haiwan di zoo tersebut.

“Kita mahu menyediakan ruang yang lebih besar bagi meletakkan pelbagai jenis haiwan seperti yang ditetapkan piawaian antarabangsa bagi menjadikan zoo ini bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Haiwan Untuk Ditempatkan Di Pusat Pemuliharaan Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, hari ini.



Hadir sama pada majlis itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pengarah Perhilitan, Dato’ Abdul Rashid Shamsuddin.

Perhilitan menyerahkan 13 ekor singai, dua tapir dan dua pasang ungka untuk dibela di zoo tersebut.

Menteri Besar berkata, zoo berkenaan bukan saja menjadi tempat belaan pelbagai jenis haiwan untuk ditonton orang ramai, tetapi pada masa yang sama akan menjadi tempat pemuliharaan haiwan, terutama daripapada spesies yang hampir pupus.

Katanya, zoo itu juga kini dalam proses menyediakan ‘African Safari’ yang bakal menempatkan pelbagai haiwan dari Afrika, tidak lama lagi.