Halaman

14 November 2011

Terengganu uji tujuh pemain import mulai Rabu ini

Oleh FAUZI MOHD

Sekurang-kurangnya tujuh pemain daripada beberapa buah negara akan diuji oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam rangka pencarian pemain import bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Penolong pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, setakat ini pihaknya akan menguji pemain-pemain dari Ghana, Nigeria dan Brazil mulai minggu depan.

"Langkah pertama, kita akan menguji dua pemain dari Ghana Rabu ini sebelum menguji tiga pemain dari Nigeria dan dua pemain Brazil,” katanya hari ini.

Selain itu, menurut beliau ramai lagi pemain-pemain import yang sanggup datang dan bermain dengan Terengganu dan pihaknya kini sedang berurusan dengan ejen pemain-pemain berkenaan.

Sheikh Tajudin yang juga Naib Yang Dipertua PBSNT berkata, begitupun pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam pengambilan pemain-pemain import kerana pendaftaran pemain masih lagi panjang.