Halaman

18 November 2011

Pelayar TESA ungguli 'Laser Dinghy' Regatta KFC Terbuka Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Regu pelayar dari Persatuan Pelayaran Terengganu (TESA), Mohd. Sollehudin Ismail, 19, dan Mohd. Fathudin Salleh, 19, menjuarai kategori 'Laser Dinghy' Regatta KFC Terbuka Terengganu 2011 di Pulau Duyong, Kuala Terengganu hari ini.

Perlumbaan maraton mengelilingi Pulau Duyong sejauh 18 kilometer itu membolehkan gandingan dari Penarik, Setiu itu membawa pulang wang tunai RM600 serta medal dengan menewaskan Sheikh Abdul Somad Saidi, 16 (kedua) dan Azri Suhaimi, 19 (ketiga).

Tempat kedua dan ketiga pelayar dari TESA itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM200 yang disampaikan Penasihat Kejohanan Piala Monsun, Dato' Peter Gilmour. Turut hadir, Naib Presiden I Persatuan Perlayaran Malaysia (MYA), Dato' Wan Hisham Wan Salleh.

Bagi kategori 'Optimist', pelayar Persatuan Perlayaran Kedah, Mohd. Isan Ali, 15, diumumkan juara selepas menewaskan dua pelayar dari Persatuan Perahu Layar Melaka Bandaraya Bersejarah iaitu Ahmad Khairulhafiz A. Khmbali, 15 (kedua) dan Nur Qhudrat Yusop, 17.

Juara tunggal kategori 'Windsurfing' diraih Muhd. Faqih Mohd. Arshad, 15 dari Persatuan Perahu Layar Pahang.

Paling membanggakan, semua peserta berjaya menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas 1 jam 14 minit dengan kelajuan angin monsun 4.5 not, arus dari dua aliran sungai di Muara Sungai Terengganu serta hujan.

Kejohanan tiga hari anjuran KFC, TESA, MYA dan Majlis Sukan Negara itu disertai oleh 89 pelayar muda berusia lapan hingga 19 tahun dari 10 pasukan termasuk Persatuan Perlayaran Tentera Laut Diraja Malaysia dan semua persatuan pelayaran negeri dari Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan.

Acara yang masuk musim ketiga itu melibatkan enam kelas perlumbaan iaitu 470, Laser Radial, Laser Standard, International 420, Luncur Angin serta Optimis dan sebelum ini ia dianjurkan di Penarik, Setiu dan Batu Buruk.

Sementara itu, Dato' Wan Hisham dalam ucapannya memberitahu, bermula tahun depan seramai 300 pelayar tempatan dari seluruh negara akan dipilih untuk menjadi pemerhati dalam kejohanan perlayaran, Piala Monsun.

Katanya, program tajaan KFC dan MYA itu bagi memberi pendedahan acara perlayaran sebenar yang bertaraf dunia bagi menaik taraf sukan ini ke tahap yang lebih tinggi serta mempromosi pelayaran sebagai acara sukan penting di Malaysia.