Halaman

14 November 2011

Kumpulan pertama jemaah haji Jeddah-KT selamat tiba

Oleh FAUZI MOHD


Kumpulan pertama 447 jemaah haji penerbangan terus dari Jeddah ke Kuala Terengganu (KT) selamat tiba dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada pukul 7.30 pagi tadi.



Menyambut ketibaan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Muhammad Ramli Nuh.

Beliau memberitahu, pihak Kerajaan negeri mengharapkan urusan Tabung Haji yang melibatkan rakyat Malaysia serta jadual penerbangan pergi dan balik tahun ini berjalan lancar.

"Alhamdulillah, setakat ini urusan yang melibatkan urusan Tabung Haji berjalan dengan lancar, kita tengok penerbangan pulang pertama jemaah haji juga telah menepati jadual.

"Dan apa-apa masalah yang dialami oleh jemaah haji ketika berada di sana juga kita dapat menyelesaikannya," katanya dalam ucapan meraikan jemaah berkenaan.

Turut hadir, Pengurus Malaysia Airport Berhad, Dr. Ahmad Ramli Mahmood.

Sebanyak enam lagi penerbangan Jeddah-KT iaitu pada keesokkan harinya, 15 November, 20, 21, 29 dan 30 November serta yang terakhir pada 1 Disember.

Sementara itu, rata-rata jemaah haji yang ditemui berkata mereka berpuas hati dengan pengurusan Tabung Haji ketika di tanah suci.

Bagi peneroka Felda Rasau Kertih II, Dungun, Ismail K.H. Muda, 66, yang bersama isterinya, Zaleha Embong, 60, berkata, sepanjang hidupnya itulah pengalaman pertama berhadapan dengan manusia yang begitu ramai.

“Semasa Tawaf selamat tinggal, pada ketika itulah paling ramai sampai nak berjalan pun payah dan itulah antara dugaan yang menguji kesabaran kita sebagai tetamu Allah.

“Walaubagaimanapun, pak cik tidak rasa susah. Dengan bantuan Tabung Haji, perjalanan lancar. Tahun depan pak cik mahu pergi lagi ke sana untuk menunaikan umrah bersama anak sulong pak cik,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Fatimah Abdullah, 60, yang berasal dari Bukit Depu, Kuala Terengganu, memberitahu, masa 55 hari di Mekah dan Madinah cukup singkat buatnya walaupun sebelum ini dia rasa itu cukup lama.

“Alhamdulillah, lapan tahun menanti akhirnya selesai hari ini,” katanya yang pergi bersama suaminya, Abdullah Hassan Muda, 60.