Halaman

30 December 2011

JHEAT yakin mampu tangani isu solat dua Jumaat

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yakin mampu menangani isu dua solat Jumaat dalam satu kariah yang masih berlaku di negeri ini, dengan cara yang berhemah dan memupuk kembali hubungan antara kariah di kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Rozali Salleh, berkata jawatankuasa yang dibentuk bagi menangani isu berkenaan akan mengadakan mesyuarat dalam masa dua minggu bagi membincangkannya dan menyerahkan hasil laporan kepada peringkat tertinggi.

Beliau berkata, dengan adanya jawatankuasa tersebut yang dibentuk oleh Majlis Agama Islam dan Adata Melayu Terengganu (Maidam), pihaknya yakin isu itu yang berlarutan sejak sekian lama, dapat ditangani.

Katanya, JHEAT dan Maidam tidak boleh membuat keputusan sendiri berhubung isu itu, tetapi perlu mengambilkira pandangan pihak lain kerana ia perkara yang serius.

Peninju Terengganu berlatih di Thailand

Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) akan menghantar lima atletnya mengikuti latihan di Sekolah Sukan Tran, Thailand pada Mac depan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma).

Setiausaha PTAT Razali Mamat berkata mereka ialah Mohd Hafizuddin Hakim bagi kategori 46kg, Mohd Hishamuddin Alias (49kg), Mohd Suhaimi Yacob (56kg), Mohd Shahrulnizam Che Nik (52kg) dan Nik Mohd Iqbal Shafi (64kg).

"Kita pilih Sekolah Sukan Tran untuk menjadi rakan pelatih kepada atlet-atlet tinju kita kerana sekolah sukan itu mempunyai ramai petinju berwibawa," katanya.
Beliau berkata, semua atlet terbabit akan mengikuti latihan selama dua minggu.

Kebanyakan petinju terbabit baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan kini mengikuti latihan intensif termasuk menjalani latihan pernafasan di tempat sejuk di Cameron Highlands, katanya.

Untuk Sukma tahun depan, Razali berkata PTAT akan menghantar tujuh atlet selain dua lagi yang sedang dikenal pasti untuk kategori 75kg dan 81kg.


Hati-hati dengan motivasi ‘beracun’

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mengingatkan ibu bapa tidak menerima bulat-bulat ‘motivasi’ yang mendakwa pendidikan sekular tidak perlu diutamakan.

“Saya mendapat tahu ada gerakan dari pihak pembangkang yang mengunjungi rumah pelajar cemerlang (UPSR dan PMR) mengucapkan tahniah sambil mengingatkan itu hanya kejayaan di dunia sahaja,” katanya di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR DUN Seberang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir semalam.

Tambahnya, pihak berkenaan itu sanggup meminta keluarga dan pelajar terbabit memberi tumpuan lebih untuk bekalan di akhirat kerana itu lebih penting dari segalanya.

“Kita tidak nafikan bekalan akhirat penting tetapi bimbang motivasi yang diberikan itu menjadi racun kepada pelajar dan juga ibu bapa untuk tidak memajukan diri pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak pernah serik untuk terus membantu rakyat yang berhadapan dengan apa juga masalah walaupun secara terang terangan mereka seolah tidak berterima kasih.

“Selaku kerajaan yang bertanggung jawab, akan tetap menyumbangkan pelbagai dana bagi memastikan semua lapisan rakyat menikmati kehidupan yang selesa,” katanya.



29 December 2011

Durian di PBKP laris

Oleh: Suriati Ali

TERIAKAN `mari beli durian’ oleh peniaga durian di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu nyata menarik minat pengunjung dan pengguna jalan raya di kawasan itu untuk membeli `raja buah’ itu.

Lebih 10 peniaga tempatan setia mempromosi pelbagai jenis durian yang dijual antara RM4 hingga RM20 walaupun terpaksa menahan kesejukan ketika hari hujan.

Seorang peniaga, Mohd Ramli Bidin, 38, berkata durian yang dibeli dari Perak dan Pahang itu mendapat sambutan cukup menggalakkan berikutan buah itu kini sukar didapati di Terengganu.

Katanya, pada musim sekarang, durian di negeri ini tak berbuah, sebab itu kami terpaksa mendapatkan durian dari luar Terengganu untuk dijual.

“Pelbagai kaedah digunakan peniaga, termasuk menjualnya secara longgok iaitu RM20 bagi lima hingga tujuh biji durian.

“Ada juga di antara kami mengisikan ulas buah durian ke dalam bekas semata-mata ingin menarik minat pembeli. Kaedah itu lebih laris berbanding menjualnya secara timbang,” katanya ketika ditemui di PBKP.

Peniaga dari Setiu, Salleh Idris 40, berkata hampir setiap hari, dia bersama dua pembantu akan mula berniaga seawal jam 8.00 pagi dan hanya akan pulang apabila menjelang tengah malam.

“Harga durian yang dijual bergantung kepada jenis durian, buah yang mahal adalah durian kunyit iaitu RM20 bagi sekilogram.

“Kebanyakan penggemar durian tidak kisah mengenai harganya asalkan rasa dan kualitinya memang bagus dan enak,” katanya.




Pelajar nakal bakal bertemu empat mata dengan YB

Oleh; Esah Abdullah

Saya akan pergi ke setiap buah rumah pelajar yang bermasalah untuk bersemuka antara empat mata dengan pelajar dan juga penjaga mereka.



Itu janji Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dalam usaha menangani masalah disiplin di kalangan pelajar yang begitu membimbangkan kebelakangan ini.

“Saya terima senarai nama 17 orang pelajar nakal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang bakal dikenakan tindakan buang sekolah,” katanya di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR DUN Seberang Takir di Dewan Sivik Seberang Takir hari ini.

Katanya, tindakan buang sekolah bukan jalan terbaik, kerana dikhuatiri boleh mendatangkan masalah lebih besar lagi selepas itu.

"Saya beritahu guru sekolah berkenaan, jangan bertindak lagi kerana saya ingin ke rumah jumpa mereka dan keluarga mereka sekali," katanya.

Adun Seberang Takir itu juga akan membuat ‘road show’ ke setiap buah sekolah mulai tahun depan bertemu guru, pelajar dan ibu bapa untuk lebih dekat berbincang hati ke hati tentang masalah dan perancangan serta hala tuju pendidikan negeri.

“Kadang-kadang kita risau dengan fenomena hari ini terdapat sesetengah pelajar sudah hilang rasa hormat kepada pemimpin tertinggi negeri, guru dan juga ibu bapa sendiri akibat terpengaruh dengan dakyah-dakyah songsang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sudah lakukan segalanya bagi memastikan pembangunan pendidikan mendapat yang terbaik namun perubahan minda itu perlu datang dari dalam diri individu sendiri.



YB Haji Ahmad Razif kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada 97 orang pelajar cemerlang termasuklah 73 orang mendapat 5A (UPSR) manakala 24 pelajar mendapat 8A dan 9A (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.



Pelajar PMR menerima wang tunai RM150 beserta sijil dan UPSR menerima RM100 beserta sijil setiap seorang serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah rendah (5 buah) dan sekolah menengah (2 buah) masing-masing menerima wang tunai RM1,000.






Terengganu jadi kem latih pelumba

TERENGGANU dipilih sebagai kem latihan pasukan lumba basikal kebangsaan bagi persediaan menghadapi Kejohanan Asia (ACC) dan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, seramai 11 pelumba menyertai kem latihan bermula dari 20 Disember lalu hingga 20 Januari, tahun depan.

“Kita pilih Terengganu sebagai kem latihan pasukan kebangsaan kerana ia adalah salah satu laluan dalam kejohanan LTdL nanti,” katanya.

Menurutnya, latihan itu diadakan di sekitar daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu meliputi jarak bawah 280 kilometer dua hala setiap hari.

Syed Mohd Hussaini berkata, pelumba ACC terdiri daripada Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Anuar Manan, Shahrul Mat Amin, Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustapha dan Adiq Husaini.

Manakala, pelumba-pelumba LTdL pula ialah Akmal Amron, Mohamad Nazri, Mohd Fakharullah Alias, Suhardi Hasan, Falani Ali, Mohd Rauf Misbah selain Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustafa dan Adiq Husaini.



14 pelumba basikal Terengganu sertai Grand Prix Akhir

Seramai 14 pelumba basikal Terengganu mengayuh basikal ke Muar, Johor, untuk menyertai Kejohanan Grand Prix Akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Jurulatih Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata mereka terdiri daripada pelumba elit Sukma, junior dan pelumba wanita.

"Kita buat pendekatan sebegini supaya pelumba-pelumba tidak merasa letih sekiranya mereka pergi dengan kenderaan," katanya.



Pelumba-pelumba itu berkayuh sejauh kira-kira 1,000 kilometer pergi dan balik iaitu dari Kuala Terengganu-Kuantan, Kuantan-Segamat dan Segamat-Muar manakala perjalanan balik pula dari Muar-Mersing, Mersing-Pekan, Pekan-Kuantan, Kuantan-Kemaman, Kemaman-Kuala Terengganu, mengikut laluan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Syed Mohd Hussaini berkata turut serta dalam rombongan itu ialah pelumba-pelumba kebangsaan yang sedang membuat persiapan di sini bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan LTdL.

Beliau berkata latihan seumpama itu memberi satu kelebihan kepada pelumba-pelumba yang bakal mewakili Terengganu pada Sukma nanti.

Katanya, Terengganu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada kejohanan itu yang lebih bersifat untuk memberi pendedahan kepada pelumba.





Malam Anugerah Pengkalan TUDM Gong Kedak meriah

Oleh: Mohammad Ishak




Majlis sambutan Malam Anugerah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut, yang berlangsung di Dewan Besar pangkalan itu malam tadi sungguh meriah dan menarik dengan kehadiran ramai anggota serta keluarga masing-masing.

Acara tahunan bertujuan memberi pengiktirafan kepada anggota yang berjaya dalam pelbagai bidang sepanjang tahun 2011 turut disertai tetamu luar yang diundangkan khas oleh TUDM berkenaan.

Menariknya, majlis yang bertemakan “Back To School” semua peserta diwajibkan berpakaian penuh seragam sekolah termasuk pegawai tinggi pasukan, anggota dan ahli keluarga mereka.

Ketibaan Komander Pangkalan itu, Brig Jen Mohd Fauzi Ahmad dan isteri serta pegawai kanan pasukan dengan menaiki bas sekolah ke dewan besar dengan diiringi paluan kompang memeriahkan lagi suasana berkenaan.

Pengerusi penganjur, Lt Kol Parves Mohamed Yusof berkata, acara tahunan itu bertujuan memberi penghargaan kepada anggota yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang sepanjang tahun ini.

Katanya, sempena program itu pihaknya mengisi dengan pelbagai acara menarik termasuk anugerah kecemerlangan membabitkan 13 kategori yang ditetapkan. Selain itu orang ramai juga turut terhibur dengan persembahan hiburan nyanyian, dikir barat dan sketsa berkonsepkan suasana di sekolah.


Brig Jen Mohd Fauzi berkata, pangkalan TUDM berkenaan kini lebih banyak menganjurkan aktiviti bukan sahaja untuk anggota pasukan malah pihaknya juga turut membabitkan komuniti setempat.

“Usaha ini dilakukan bagi merapatkan hubungan antara anggota pasukan dengan penduduk setempat melalui kegiatan berjiwa rakyat,” katanya.



Jauhi kawasan hakisan ombak besar – Ketua Polis Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan yang terjejas akibat fenomena ombak besar dan air pasang sepanjang pantai di negeri ini, kata Ketua Polis Terengganu Dato’ Jamshah Mustapa.

Nasihat itu turut ditujukan kepada orang ramai yang mengunjungi pusat peranginan di kawasan pantai di tiga daerah terbabit iaitu Besut, Dungun dan Kemaman.

Beliau juga meminta penduduk di kawasan terbabit agar sentiasa berwaspada memandangkan fenomena tersebut dijangka berterusan sehingga awal Januari ini.

"Itu kawasan berisiko dan jika berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini kerja-kerja menyelamat sukar dijalankan," katanya baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian kawasan pantai di negeri ini merupakan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lepas.

Dungun merupakan daerah paling teruk terjejas dengan hampir sebahagian besar kawasan pesisir pantai peranginan Teluk Lipat dihakis ombak besar.

Fenomena itu juga mengakibatkan jalan raya sepanjang tiga kilometer berhampiran kawasan pantai itu runtuh dan rosak teruk serta terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Bagaimanapun fenomena itu menyebabkan kawasan terbabit dibanjiri orang ramai yang ingin melihat sendiri kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Dato’ Jamshah menasihatkan pengguna jalan raya yang ingin ke Dungun atau Kemaman agar menggunakan jalan utama.


28 December 2011

Karnival Sukan Ambang Tahun Baru di Kuala Nerus

Oleh FAUZI MOHD

Sempena kedatangan tahun baru 2012, Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Nerus menganjurkan Karnival Sukan Ambang Tahun Baru bermula esok di perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Ketuanya, Apli Yusoff berkata, program tiga hari anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus dan Gerakan Belia 4B (M) Kuala Nerus dijangka menarik lebih 3,000 penyertaan dengan penganjuran lebih 10 acara sukan, rekreasi dan pertunjukan.

Katanya, pengisian program termasuklah penyertaan 100 buah kereta pasukan Ekplorace sekitar Kuala Nerus, 100 pasukan futsal, 30 pasukan bola jaring, 100 pasukan sepak takraw, pameran permotoran dan ‘drift’.

“Turut diadakan, kayuhan basikal ambang tahun baru yang melibatkan penyertaan 300 buah basikal dengan kerjasama Kelab Ngayuh Kuala Nerus.

“Kemuncak acara pada malam 31 Disember dengan pertunjukkan bunga api, cabatan bertuah dan penyampaian hadiah oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri,” katanya di sini hari ini.