Halaman

29 December 2011

Jauhi kawasan hakisan ombak besar – Ketua Polis Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi kawasan yang terjejas akibat fenomena ombak besar dan air pasang sepanjang pantai di negeri ini, kata Ketua Polis Terengganu Dato’ Jamshah Mustapa.

Nasihat itu turut ditujukan kepada orang ramai yang mengunjungi pusat peranginan di kawasan pantai di tiga daerah terbabit iaitu Besut, Dungun dan Kemaman.

Beliau juga meminta penduduk di kawasan terbabit agar sentiasa berwaspada memandangkan fenomena tersebut dijangka berterusan sehingga awal Januari ini.

"Itu kawasan berisiko dan jika berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini kerja-kerja menyelamat sukar dijalankan," katanya baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian kawasan pantai di negeri ini merupakan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lepas.

Dungun merupakan daerah paling teruk terjejas dengan hampir sebahagian besar kawasan pesisir pantai peranginan Teluk Lipat dihakis ombak besar.

Fenomena itu juga mengakibatkan jalan raya sepanjang tiga kilometer berhampiran kawasan pantai itu runtuh dan rosak teruk serta terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Bagaimanapun fenomena itu menyebabkan kawasan terbabit dibanjiri orang ramai yang ingin melihat sendiri kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Dato’ Jamshah menasihatkan pengguna jalan raya yang ingin ke Dungun atau Kemaman agar menggunakan jalan utama.