Hampir 1,500 penduduk DUN Batu Rakit dan sekitarnya hadir memeriahkan sambutan Malam Nur Hijrah yang diadakan secara terbuka dengan matlamat untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
ADUN Batu Rakit, YB. Khazan Che Mat berkata, sambutan Malam Nur Hijrah ini adalah program tahunan terbesar di peringkat DUN dengan tujuan untuk mengumpulkan semua penduduk dengan pengisian program yang berunsurkan kerohanian.
“Kita percaya melalui program seumpama ini ia bukan sahaja terhad kepada golongan muda sahaja malah turut menarik perhatian golongan dewasa dan warga emas untuk sama-sama menjayakannya.
“Dalam keadaan hari ini bukan mudah untuk menarik golongan belia menyertai program yang berunsurkan kerohanian dan melalui penggabungan beberapa acara seperti lagi-lagu nasyid, forum dan persembahan selingan saya melihat ia begitu mendapat sambutan,” katanya.
Sempena Malam Nur Hijrah yang diadakan di Dataran Perumahan Rumah Awam Kos Rendah, Mengabang Lekar kumpulan nasyid Raihan telah menjadi tetamu istimewa untuk menghiburkan penonton dengan tujuh buah lagu nasyid selain persembahan murid dari Sekolah Kebangsaan Padang Kemunting.
Selain itu, slot bicara halaqah turut menjadi acara sampingan dengan menampilkan tiga ahli panel termasuk Khazan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Setiu, Wan Maznah Wan Nong telah dinobatkan sebagai Tokoh Malam Nur Hijrah 1433.
Anugerah Khas Malam Nur Hijrah pula telah disandang oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Wan selain Anugerah Penghargaan telah diberikan kepada Bekas Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Abdul Halim Awang.