Halaman

27 December 2011

Jheat serius tangani isu murtad

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) mengambil langkah sewajarnya bagi membendung isu murtad yang dikatakan semakin berleluasa di kalangan umat Islam di negeri ini.

Program bersama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), aktiviti bersama belia dan remaja, menghebahkan isu berkaitan melalui media dipergiatkan bagi mengelak golongan tertentu terus terjebak gejala itu.

Pesuruhjaya Jheat, Haji Mohd Rozali Salleh (gambar kanan), berkata pihak mengakui bimbang dengan apa yang berlaku sekarang kerana terdapat beberapa penganut agama Kristian di negeri ini dikatakan giat menjadikan golongan tertentu sebagai sasaran untuk menganut agama mereka.

Katanya, berdasarkan beberapa aduan yang diterima, Orang Kurang Upaya yang dikategorikan pekak, pesakit tidak mempunyai waris dan golongan belia bermasalah mudah untuk didekati

“Penganut agama itu.memandangnya sebagai peluang untuk menabur pelbagai janji, menawarkan bantuan kewangan sebelum memujuk secara halus supaya menukar agama lain.

“Di Terengganu belum ada aduan yang rasmi berkaitan itu tetapi saya pasti ia berlaku secara terancang serta terselindung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Bahasa Isyarat kepada Penjawat Awam di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.