Persatuan Hoki Wanita Terengganu (PHWT) akan menganjurkan lebih banyak kejohanan di peringkat negeri dalam usaha melahirkan pemain hoki wanita berwibawa di negeri ini.
Setiausahanya, Nik Zaharah Nik Abdul Kadir berkata, PHWT juga akan menghidupkan kembali kejohanan hoki wanita yang telah dihentikan hampir tiga tahun lepas, termasuk pertandingan mini hoki.
“Mulai tahun depan, PHWT akan menyertai semua kejohanan hoki peringkat kebangsaan baik di peringkat remaja untuk memberi pendedahan dan mengasah bakat pemain-pemain yang baru meningkat ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu katanya, keputusan mengenai cadangan untuk menggabungkan PHWT dan Persatuan Hoki Lelaki Negeri Terengganu (PHLNT) dijangka diketahui apabila kedua-dua persatuan terbabit mengadakan mesyuarat bulan depan.
Menurut Nik Zaharah, pada dasarnya gabungan seumpama itu sangat baik kerana dapat memberi kekuatan kepada kedua-dua persatuan dalam semua aspek.
Persatuan Hoki Malaysia (PHM) baru-baru ini meminta semua persatuan hoki lelaki dan wanita negeri bergabung sebagai langkah untuk memantapkan sukan hoki.