Halaman

26 December 2011

100 kawah bubur asyura di Parlimen Kuala Nerus


Oleh FAUZI MOHD

Ketibaan Maal Hijrah setiap tahun pastinya tidak lengkap jika tiada acara memasak bubur asyura yang sudah menjadi sebahagian tradisi di kalangan masyarakat Islam negara ini.

Lebih meriah jika acara itu diadakan secara beramai-ramai dan bergotong-royong sekali gus dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Kesempatan itu diambil oleh Jawatankuasa Parlimen Kuala Nerus untuk mengadakan pertandingan memasak bubur asyura di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Seberang Takir Kuala Terengganu semalam.

Acara yang bermula kiri-kira pukul 9 pagi itu, disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada UMNO cawangan dan pelbagai agensi kerajaan dan swasta di negeri itu.


Lebih meriah, pertandingan itu menawarkan wang tunai RM1,000 untuk juara, tempat kedua RM900, ketiga (RM800), keempat (RM700) serta tempat kelima dan ke bawah layak menerima wang tunai sebanyak RM500.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, kira-kira RM50,000 diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut yang julung-julung kalinya diadakan.

Katanya, program itu bertujuan memupuk semangat dan kerjasama antara pasukan yang bertanding serta meneruskan kesinambungan budaya memasak bubur asyura secara berkumpulan.

"Ini merupakan penganjuran kali pertama seumpamanya dan sangat meriah memandangkan kira-kira 5,000 orang hadir untuk melihat acara ini.


"Menariknya pelbagai resipi istimewa peserta-peserta yang jarang-jarang diketengahkan sebelum ini ditonjolkan selain hiasan bubur asyura yang kreatif," jelasnya.

Pada pertandingan itu, Persatuan Kebajikan Taman Perumahan Gong Badak memenangi tempat pertama bagi kategori kumpulan manakala 18 RAMD tempat kedua dan tempat ketiga digondol oleh kumpulan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Bagi kategori cawangan, tempat pertama dimenangi oleh Kampung Banggol Binjai, tempat kedua Kampung Telaga Batin dan tempat ketiga Kampung Seberang Takir.