Halaman

25 December 2011

Sesma terbaik PMR

Oleh: Aida Abd Rahman

Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) muncul sekolah terbaik di Terengganu apabila mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.03 dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan, baru-baru ini.

Malah, kejayaan itu disifatkan prestasi paling cemerlang bagi tempoh 10 tahun berikutan pada tahun lalu GPS yang diperolehi adalah 1.05 yang melibatkan 88 berjaya mendapat 8A daripada 112 calon keseluruhan.

Pemangku Pengetua Sesma merangkap Penolong Kanan 1 Sesma, Encik Zulkeflee A Rahman berkata, prestasi baik dan memberangsangkan yang diperolehi sekolah itu hasil gabungan kerjasama dan kesungguhan pelbagai pihak yang sentiasa mengadakan program dan kelas tambahan sejak awal tahun lagi.

“Selain program Skor A dan kem motivasi, pelajar juga mempraktikkan amalan membaca surah Yassin pada waktu pagi, membaca surah al-Mulk sebelum tidur serta melakukan solat Hajat.

“Malah, program Tambatan Kasih yang sememangnya turut diberi fokus oleh bekas Pengetua Sesma, Mohd Suhaimi Hashim yang bersara pada 2 Disember baru-baru ini dilihat berkesan bagi membantu pelajar lemah kerana mereka sering berjumpa dengan kaunselor serta dipantau secara berterusan,” katanya,

Selain Sesma, sekolah lain yang turut berpencapaian tinggi GPS 1.00 hingga 1.80 termasuk SM Imtiaz Besut (1.04); SMK Mak Lagam, Kemaman (1.04); SMK Lembah Bidong, Setiu (1.07); SMK Tengku Mahmud, Besut (1.09); SM Imtiaz Kuala Berang (1.09); SM Imtiaz Dungun (1.11); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.11) dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.13).

Manakala antara sekolah yang mencapai 100 peratus minimum D, Sesma, SMK Mak Lagam, SMK Lembah Bidong, SMK Tengku Mahmud, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Dungun, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SMK Pelong, SM Sains Dungun, SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Rantau Petronas.

Pencapaian calon pada tahun ini pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti.Rekod pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.