Pelumba sensasi negara yang berasal dari Terengganu, Anuar Manan (kiri) kini bersedia beraksi dengan pasukan HK Champion System tahun depan.
Oleh: Suriati Ali
Pelumba sensasi negara, Anuar Manan, mengakui dirinya kini bersedia sepenuhnya untuk beraksi dengan pasu-kan divisyen dua, HK Champion System mulai tahun depan.
Menurut Anuar, khidmatnya dengan pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang masih berbaki beberapa hari lagi tidak sesekali menghalang dirinya untuk mempersiapkan diri untuk memulakan latihan dengan pasukan yang berpusat di Eropah itu.
“Buat masa sekarang saya menjalani latihan seperti biasa untuk memastikan stamina sentiasa mantap, mengenai persiapan untuk beraksi dengan pasukan baru juga saya telah bersedia dari segi mental serta fizikal.
“Ini bukan kali pertama kerana sebelum ini saya pernah berlumba untuk pasukan Iran dan Korea, sedikit sebanyak pengalaman yang ada akan membantu saya apabila bersama pasukan baru nanti,” katanya.
Menurut Anak kelahiran Kuala Ibai yang berusia 25 tahun ini, meskipun agak berat baginya untuk meninggalkan pasukan yang telah banyak melonjakkan kerjayanya (TSG), namun demi masa depan yang masih panjang segala kesedihan itu terpaksa dilupakan.
“Setiap pelumba basikal memiliki target yang sama iaitu ingin bergelar pelumba divisyen satu, sekali gus melayakkan diri untuk beraksi dalam perlumbaan paling berprestij di dunia iaitu Le Tour De France, begitu juga dengan saya,” katanya.
Katanya, peluang beraksi dengan pasukan baru yang berstatus divisyen dua itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan lagi pencapaian dirinya dalam perlumbaan basikal dengan harapan mampu membawa nama negara.
“Meskipun beraksi dengan pasukan luar setidak-tidaknya misi membawa nama negara terlaksana,” katanya.