Halaman

25 December 2011

Karnival Hijrah – Fama sasar 100 siswazah tani di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan akan melahirkan sekurang-kurangnya 100 orang usahawan tani siswazah di Terengganu tahun depan.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata pada tahun ini Fama telah berjaya melahirkan seramai 80 orang usahawan tani siswazah di negeri ini.

"Tidak mustahil pada masa akan datang kita akan dapat mendengar usahawan tani lahir di kalangan siswazah-siswazah tani," katanya ketika ditemu di Karnival Hijrah semalam.

Menurut Hasan, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM30 juta sebagai insentif untuk meningkatkan lagi penyertaan golongan siswazah dalam bidang pertanian dan sehubungan itu Fama akan berusaha keras untuk mencapai sasaran itu tahun depan.

Katanya peluang itu harus direbut oleh siswazah tani kerana pada masa akan datang peluang untuk bekerja makan gaji semakin mengecil.

Hasan berkata kerajaan juga ingin melihat usahawan-usahawan tani di negara ini bukan lagi sebagai petani tradisi tetapi muncul sebagai petani profesional sama seperti di negara Barat.