Halaman

01 January 2012

Hujan berterusan, risiko banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kawasan rendah di beberapa negeri khususnya Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis berisiko mengalami banjir berikutan hujan lebat berterusan sehingga malam ini.

Berikutan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga.
Menurut kenyataan jabatan itu, kawasan yang terlibat di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. Manakala di Kelantan ialah daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli.

Sementara di Kedah melibatkan kawasan Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik dan Langkawi serta Perlis di Padang Besar, Kangar dan Arau.





JKM keluar kad baru kepada OKU

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri memperkenalkan kad keahlian Orang Kelainan Upaya (OKU) yang baru bercirikan keselamatan dan lebih tahan lama kepada kira-kira 10,000 ahlinya yang berdaftar tahun ini.

Pengarah JKM negeri, Encik Zuhaimi Omar berkata, kad keahlian OKU baru yang bersaiz dan bercirikan seperti kad pengenalan diri itu mula diperkenalkan sejak Ogos lalu bagi mengantikan kad sedia ada yang berbentuk plastik.

Katanya, pada masa ini lebih 1,000 ahli telah menukar kad keahlian tersebut dan yang lain dijangka selesai menukarnya menjelang Julai tahun depan.

“ OKU boleh mengunjungi ke semua pejabat JKM negeri dan daerah serta 40 Pusat Khidmat Komuniti di seluruh negeri bagi memudahkan penukaran kad kedahlian yang baru,” katanya

Sehubungan itu katanya, pihaknya berharap semua OKU dapat menukar segera kad keahlian yang lama kepada yang baru yang diberikan secara percuma,’’ katanya pada majlis Sambutan Hari OKU di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa petang semalam yang dirasmikan oleh isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, Toh Puan Rohani Abdullah.

Beliau juga mahu golongan OKU yang belum mendaftar dapat berbuat demikian kerana banyak manfaat yang diperolehi apabila menjadi ahli.

Tambahnya, banyak kemudahan yang disediakan kerajaan kepada golongan itu termasuk lebih 30 kemudahan yang boleh diperolehi ahli antaranya tambang pengangkutan.

Beliau menganggarkan masih ramai OKU yang tidak mendaftar dengan JKM , walaupun pelbagai usaha termasuk turun padang dan hebahan dilakukan untuk mendaftarkan mereka.

``Faktor malu di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak cacat masih ada sedangkan banyak peluang yang boleh membantu tuntuk mereka berdikari,’’ ujarnya.

Katanya, JKM telah membelanjakan kira-kira RM89.8 juta untuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada seramai 32,877 orang pada tahun ini.

“Bantuan itu termasuk bantuan am negeri, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja cacat, orang tua, bantuan penjagaan OKU dan pesakit kronik serta bantuan OKU tak bekerja,” katanya.





JHEAT lantik 203 hafiz Quran

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah melantik 203 hafiz melalui skim menghfaz al Quran dewasa seluruh negeri sehingga kini .

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT (Bahagian Dakwah), Hajah Shamsiah Awang berkata, melalui skim itu mereka yang terpilih, layak menerima imbuhan bulanan antara RM250 hingga RM1,000.

Menurut beliau, imbuhan yang diberikan itu berdasarkan jumlah juzuk al Quran yang dihafaz seperti hafaz juzuk pertama hingga juzuk ketujuh akan menerima imbuhan RM250 sebulan.

``Penambahan bagi setiap juzuk sebanyak RM30 sehingga kepada 30 juzuk sebanyak RM1,000 sebulan,’’ katanya.

Tambahnya, selain imbuhan bulanan, hafiz al-Quran turut diberikan ganjaran jika meninggal dunia antara RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan jumlah juzuk yang dihafaz.

Menurutnya, JHEAT tidak pernah menghalang mereka yang mempunyai pekerjaan tetap untuk menyertai skim tersebut, tetapi dengan syarat memenuhi kreteria yang ditetapkan dan usaha ini adalah untuk melahirkan lebih ramai hafiz di negeri ini.





Sokong tubuh MBI

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri menyokong penuh dan menyambut baik penubuhan Majlis Bahasa Inggeris (MBI) mulai tahun ini berikutan dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar selain mampu mengkaji serta menambah baik sistem pengajaran, pembelajaran sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kebanyakan pelajar di Terengganu masih lemah dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Ini mungkin disebabkan kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam bahasa itu menyebabkan ada pelajar kita yang tercicir pada mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Kita ada membuat permohonan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menghantar lebih ramai guru-guru yang mahir Bahasa Inggeris ke Terengganu bagi meningkatkan penguasaan pelajar," katanya kepada pemberita pada program pemimpin bersama masyarakat di 18 Rijmen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Kem Seri Pantai, Seberang Takir ,semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris bagi mengkaji kualiti dan standard sistem pengajar, pembelajaran serta pencapaian bahasa itu di kalangan pelajar.

YB Ahmad Razif turut memberitahu, permohonan itu dilaksanakan susulan masalah kekurangan guru untuk mata pelajaran itu yang semakin ketara sejak kebelakangan ini.

“Pada sama sama kerajaan negeri turut meninjau peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Perth, Australia untuk memperkukuhkan dan meningkatkan penguasaan pelajar dalan bahasa itu,” katanya.


88 penduduk di Daerah Setiu dipindahkan kerana banjir

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 88 penduduk dari daerah Setiu terpaksa dipindah ke tempat selamat apabila kampung mereka ditengelami banjir selepas hujan lebat tidak berhenti henti dalam tempoh 24 jam lalu.

Mereka ialah 43 lelaki dan 45 perempuan kini di tempatkan di pusat pemindahan di balai raya Kampung Jabi,Masjid Jabi,Kmpung Jaya Sungai Tong,Masjid Guntong dan Sekolah Kebangsaan Sungai Ikan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat , penduduk terbabit dipindah kira-kira jam 1 pagi tadi tadi apabila air naik dan melimpah di kawasan kampung terbabit.

Tinjuan mendapati keadaan hujan yang berterusan sejak pagi semalam menyebabkan banyak kawasan rendah sekitar daerah Setiu dinaiki air.

Dalam perkembangan lain persiapan sambutan Tahun Baru 2012 yang dijadualkan berlangsung di sekitar daerah Besut malam tadi terpaksa dibatalkan akibat hujan lebat menyebabkan orang ramai pulang hampa ke rumah masing-masing.


31 December 2011

Kadar jenayah di Setiu terendah

Kadar jenayah di daerah Setiu sepanjang November lalu merupakan paling rendah berbanding daerah lain di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Rohaizat Abd Ani, berkata pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan kadar penyelesaian kes jenayah bagi memastikan daerah tersebut terus berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat bagi melaporkan kegiatan jenayah di kawasan mereka bagi memudahkan tindakan susulan dan aktiviti mencegah jenayah.

Sejak awal tahun hingga Disember, sebanyak 146 kes jenayah dilaporkan di daerah Setiu dan daripada jumlah itu 87 kes telah diselesaikan.

Polis daerah Setiu berjaya menyelesaikan lebih 60 peratus daripada kes yang dilaporkan, melebihi sasaran 20 peratus yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.




JPS tambak pantai elak hakisan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sedang giat menjalankan kerja-kerja penambakan di kawasan pantai peranginan Teluk Lipat, Dungun bagi mengurangkan hakisan.

Pengarahnya, Mat Hussin Ghani berkata kerja menambak itu akan dilakukan secara berterusan sehingga Februari depan.

Beliau berkata, penambakan itu adalah langkah segera bagi menangani masalah hakisan memandangkan kerja membina tembok kekal bukan saja mengambil masa tetapi juga melibatkan kos yang tinggi.

Katanya JPS memerlukan kira-kira RM30 juta bagi membina tembok kekal dan setakat ini telah membelanjakan RM2 juta bagi membina tembok bongkah batu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat kira-kira RM15 juta bagi kerja menambak Pantai Teluk Lipat dan RM10 juta untuk Pantai Tok Jembal.

Kerja penambakan turut dijalankan di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi mengurangkan hakisan yang sebelum ini telah memusnahkan puluhan pokok rhu dan chalet murah yang terdapat di sepanjang pantai tersebut.



100 pelajar sertai gunting rambut percuma

Oleh: Mohammad Ishak




Penyelaras Pemuda UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, menganjurkan program gunting rambut percuma kepada pelajar di kawasan berkenaan yang berlangsung di pejabat penyelaras Gong Kemuntong, hari ini.

Program bertujuan memberi khidmat komuniti kepada penduduk setempat turut disertai ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut.

Pengerusi penganjur, Sufian Abd Rashid berkata, khidmat gunting percuma pertama kali diadakan oleh pertubuhan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa yang sedang membuat persiapan akhir untuk persediaan sekolah anak-anak.

Katanya, bagi menjayakan program itu pihaknya mengundang enam tukang gunting sekitar Bandar Jertih untuk melakukan kerja-kerja mengunting rambut.

“Saya bangga kerana program itu mendapat sambutan menggalakkan darpada ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk menyertai program itu,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran Idris yang juga Pengerusi MARA melakukan kerja mengunting rambut turut mendapat perhatian orang ramai terutama ibu bapa yang sedang menungggu anak masing-masing.

Sufian berkata, dalam tempuh tiga jam program itu berjalan, seramai 100 pelajar mendaftar untuk bergunting rambut masing-masing.

Beliau berkata, selain gunting rambut pihak Pemuda Kawasan juga turut menganjurkan futsal sebagai aktiviti akhir tahun yang menamaptkan kegiatan sepanjang tahun ini.


Lima peninju jalani latihan di Thailand

Oleh: Aida Abd Rahman

Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) akan menghantar lima atletnya bagi mengikuti latihan di Sekolah Sukan Tran, Thailand, Mac depan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang.
Setiausaha PTAT, Encik Razali Mamat berkata, atlet terlibat adalah Mohd Hafizuddin Hakim bagi Kategori 46kg, Mohd Hishamuddin Alias (49kg), Mohd Suhaimi Yacob (56kg), Mohd Shahrulnizam Che Nik (52kg) dan Nik Mohd Iqbal Shafi (64kg).

“Semua atlet terbabit akan mengikuti latihan selama dua minggu. Kita pilih Sekolah Sukan Tran untuk menjadi rakan pelatih kepada atlet-atlet tinju kita kerana sekolah sukan itu mempunyai ramai petinju-petinju berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan petinju terbabit baru saja selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini mengikuti latihan intensif termasuk menjalani latihan pernafasan di kawasan sejuk di Cameron Highlands.

Untuk Sukma tahun depan, Encik Razali berkata PTAT akan menghantar tujuh atlet selain dua yang sedang dikenal pasti untuk kategori 75kg dan 81kg.




Terengganu kem latihan lumba basikal

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terpilih sebagai kem latihan pasukan lumba basikal kebangsaan bagi persediaan menghadapi Kejohanan Asia (ACC) dan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Jurulatih Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata seramai 11 pelumba menyertai kem latihan bermula dari 20 Disember lalu hingga 20 Januari, tahun depan.

“Kita pilih Terengganu sebagai kem latihan pasukan kebangsaan kerana ia adalah salah satu laluan dalam kejohanan LTdL nanti,” katanya.

Katanya, latihan itu diadakan di sekitar daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kuala Terengganu meliputi jarak bawah 280 kilometer dua hala setiap hari.

Pelumba ke ACC terdiri daripada Mohd Haris Salleh, Zamri Salleh, Anuar Manan, Shahrul Mat Amin, Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustapha dan Adiq Husaini.

Manakala ke LTdL adalah Akmal Amron, Mohamad Nazri, Mohd Fakharullah Alias, Suhardi Hasan, Falani Ali, Mohd Rauf Misbah selain Mohd Fauzan Mohd Lufti, Amir Mustafa dan Adiq Husaini.