Halaman

26 January 2012

MAJLIS PENERANGAN BAJET 2012



Perarakan Maulidur Rasul dijangka disertai 20,000 peserta

Oleh: Aida Abd Rahman

Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu pada 5 Februari ini (Ahad) dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya berikutan 20,000 peserta bakal menyertai majlis itu.

Pada tahun ini, kira-kira 15,000 pemimpin masyarakat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu turut menyertai perarakan itu, selain kira-kira 5,000 agensi kerajaan, swasta, badan beruniform serta pelajar.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kerajaan negeri berhasrat pada tahun ini sambutan hari kebesaran dalam kalendar Islam itu diraikan dengan penuh meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 5 Februari ini, kita semua akan menyambut Maulidur Rasul. Kerajaan negeri mahu menganjurkan perarakan lebih besar berbanding tahun sebelumnya, di mana kali ini kita akan libatkan ahli dan pemimpin masyarakat iaitu JKKK.

“Penglibatan mereka nanti akan menjadikan peserta pada sambutan kali ini kira-kira 20,000 orang,” katanya ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan Oktober hingga Disember 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Februari).

Perarakan dijangka bermula dari Taman Syah Bandar melalui bulatan Ladang sebelum berakhir di Stadium Negeri, Jalan Sultan Mahmud.

Sementara itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat ke majlis sambutan kali ini.

Dalam perkembangan lain, sempena sambutan itu juga turut diadakan konsert percuma, Muhammad Al-Ameen yang bakal menggabungkan dua ikon popular industri hiburan tempatan iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani di Dataran Tamadun Islam, Kuala Terengganu.



25 January 2012

Le Tour de Langkawi promosi Terengganu di 70 negara

Oleh FAUZI MOHD


Perlumbaan jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) kini sudah menjadi satu jenama kepada acara berbasikal di rantau ini yang bakal memasuki edisi ke-17 bermula 24 Februari depan.

Terengganu terus meniti kemasyhuran sebagai kuasa baru sukan negara apabila melakar sejarah sebagai negeri pertama menjadi tuan rumah siri penjelajahan berstatus dua hors pada kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, perlumbaan 10 hari yang berakhir di Terengganu pada 4 Mac depan bakal memberi impak besar kepada sektor sukan dan industri pelancongan negeri untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, liputan media antarabangsa dari 70 buah negara bukan sekadar mempamerkan aksi kayuhan 22 pasukan profesional, malah mampu menjana peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Liputan media asing sudah tentu memberi promosi meluas kepada Terengganu menerusi penyiaran kepada ratusan juta penonton,” katanya selepas majlis penyerahan penajaan LTdL bernilai RM1 juta di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Pengarah Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ab. Jalil Abdullah menerima tajaan berkenaan daripada Menteri Besar yang mewakili penganjur iaitu Kementerian Belia dan Sukan, MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, melalui pengenalan konsep penajaan venue yang pertama kali diperkenalkan dalam penganjuran LTdL, Terengganu tampil mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

Menurutnya, konsep itu memecah tradisi penganjurannya yang tidak melibatkan Langkawi dan ia sama seperti konsep Tour de France di mana lokasi permulaan jelajah terbesar itu diadakan di banyak lokasi seperti Monaco, London, Dublin dan Amsterdam.

“Dengan komitmen yang diberikan Kerajaan negeri, penganjur juga akan memberi peluang kepada rakyat negeri ini menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu beraksi,” jelasnya sambil merujuk kepada pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang turut serta.

Beliau turut meminta penganjur menjemput pasukan seperti Champion System dari China yang membarisi dua pelumba kelahiran Terengganu, Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman serta OCBC Cycling Team, Singapura yang disertai Ahmad Haidar Anuawar, pelumba kelahiran Kemaman.

“Tidak kiralah apa pasukan yang mereka wakili, apa yang penting ialah pelumba itu kelahiran Terengganu dan ia akan memberi rasa bangga buat rakyat negeri ini nyatakan sokongan ketika perlumbaan berlangsung,” katanya.

Pada edisi kali ini, Terengganu akan menjadi hos kepada tiga peringkat perlumbaan iaitu peringkat kelapan dari Pekan, Pahang ke Chukai sejauh 100.8km, diikuti dua peringkat berikutnya iaitu Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km).



Video Le Tour De Langkawi








Bestari Com anjur Hari Terbuka

Oleh: Mohammad Ishak
\

Wan Masyhum bergambar kenangan dengan peserta pertandingan


Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN) dalam usahnya mendekatkan masyarakat negeri ini dengan teknologi maklumat akan mengadakan Hari Terbuka menerusi pusat ICT Bestari .Com di seluruh negeri.

Timbalan Pengarahnya, Wan Masyhum Wan Harujan berkata, semua 46 pusat ICT yang diwujudkan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diminta mengadakan program berkenaan supaya penduduk setempat dapat mengetahui fungsi pusat berkenaan.

Katanya, ia juga bertujuan menggalakkan penduduk negeri ini celik IT menerusi aktiviti yang dijalankan oleh pusat berkenaan.

“Program ini juga dapat membantu penduduk mengetahui sumber maklumat Kerajaan Negeri sekali gus dapat meningkatkan pengetahuan dikalangan rakyat Terengganu,” katanya ketika menutup Hari Terbuka Bestari Com Jertih, hari ini.

Sempena program itu penganjur mengadakan pelbagai pertandingan menggunakan sistem komputer yang disertai oleh remaja, surirumah dan pelajar.

Antara yang dipertandingkan termasuklah mencari berita, menaip laju, mencari resepi dan mencipta logo menggunakan internet kemudian diedit mengikut kreativiti masing-masing.

Pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila 100 peserta mendaftar untuk menyertai pertandingan berkonsepkan online.

Menurutnya, semua pusat pusat ICT Bestari Com akan mengadakan Hari Terbuka masing-masing dan terserlah kepada pihak pengurusan terbabit untuk mengadakan aktiviti bagi menarik minat orang ramai menyertai program berkenaan.


1,244 penduduk DUN Cukai terima bantuan BR1M

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Selepas berakhirnya program sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Sivik Kampung Kijal Darat, satu lagi program yang sama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diadakan di Dewan Serbaguna Felcra Sri Bandi, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud sekali lagi meluangkan masa pada petang itu untuk menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima dari 12 kampung seperti Kg. Ibuk, Kg. Padang Kemunting, Kg. Payoh, dan Kg. Padang Kubu.

Dalam ucapan, Dato’ Seri Ahmad berkata kerajaan begitu prihatin dengan masalah rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan bagi yang kurang berkemampuan.

Tambah beliau lagi, pihak kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat walaupun dalam keadaan ekonomi yang masih kurang stabil.

“Pihak pembangkang selalu mempertikaikan soal keadilan seolah-olah pihak kerajaan terlalu zalim terhadap mereka. Walhal mereka sendiri yang tidak berlaku adil dengan kerajaan.

“Segala kemahuan dan tuntutan mereka sudah dipenuhi, namun mereka masih juga membangkang pihak kerajaan. Jadi di mana keadilan yang selalu mereka pertikaikan selama ini,” katanya.

Beliau juga berharap, masyarakat terutama rakyat Terengganu tidak sesekali melupakan jasa baik kerajaan lebih-lebih lagi apabila tibanya musim pilihan raya nanti.

Kerajaan telah mengagihkan BR1M kepada semua rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebanyak RM500 dan dibagi secara tunai untuk memudahkan rakyat bermula 15 Januari baru-baru ini di seluruh negara.

Keadaan ini jelas membuktikan kerajaan tidak pernah menabur janji-janji kosong seperti mana dakwaan pihak pembangkang.


Satu mukim-satu mini pengeluaran agro makanan

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap mukim di negeri ini bakal dibangunkan kawasan mini pengeluaran agro-makanan untuk sayur-sayuran dan tanaman ladang tidak lama lagi.

Usaha itu antara lain bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan seperti yang termaktub dalam dasar makanan negara serta mendidik usahawasan-usahawan kecil supaya bertambah maju dan berjaya.

"Kita harap satu mukim satu kawasan pengeluaran agro-makanan ini akan dapat dilaksanakan dengan segera," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Yb Asha'ari Idris.

Beliau berkata penghulu-penghulu mukim telah diarahkan untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk projek itu di mukim masing-masing.

YB Asha'ari berkata untuk mewujudkan mini pengeluaran agro-makanan ini memerlukan kawasan seluas antara empat hingga 30 hektar di setiap mukim yang bakal diusahakan sendiri oleh petani.

Beliau berkata mini pengeluaran agro-makanan ini akan menjadi satu tempat pengeluaran hasil pertanian secara kekal untuk kegunaan petani-petani.

Katanya agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan lain-lain akan dapat memberi tumpuan kepada infrastruktur dan sebagainya selain khidmat nasihat berterusan.

YB Asha'ari berkata projek itu akan diwujudkan berhampiran kampung bagi memudahkan petani membawa hasil tanaman mereka ke situ.

Sepak takraw remaja juara kejohanan PSM.

Oleh; Esah Abdullah

Pasukan Sepak Takraw Remaja Terengganu kategori lelaki bawah 21 tahun tahun muncul juara dalam Kejohanan Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail yang berlangsung di Kompleks Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur.

Jurulatih Terengganu, Encik Ahmad Mohd Zin berkata, regu Terengganu B merupakan juara bertahan tahun lalu dan kejayaan mengekal juara ini hasil komitmen semua pemain yang memberi saingan sengit kepada pasukan dari UiTM.

Katanya, kejayaan ini juga meniup semangat pasukan dalam menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang dijangka berlangsung pada Julai nanti di Pahang.

“Selaku juara kita membawa pulang wang tunai RM2,000 serta pingat emas dan naib johan UiTM menerima RM1,000 manakala Terengganu A menduduki tempat ketiga bersama Selangor B,” katanya.




Stamina pelengkap konsep S ke-50 amalan penjawat awam

Oleh: Aida Abd Rahman

Silaturahim, sistematik, sohor, sokmo, sokongan, soleh, sopan, spontan, `sporting’ dan stamina merupakan 10 lagi konsep S yang baru diperkenalkan kerajaan negeri sebagai teras amalan di kalangan penjawat awam dalam usaha membawa transformasi kepada sektor itu.



“Penambahan 10 S daripada 40 S sebelum ini selaras dengan pembaharuan yang harus dilaksanakan semua penjawat awam,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan Oktober hingga Disember 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau berkata, silaturrahim membawa maksud setiap pegawai dan kakitangan harus sentiasa merapatkan hubungan dan ukhwah serta menjalinkan persahabatan yang harmoni, manakala sistematik menjalankan kerja secara tersusun dan teratur.

Katanya, sohor pula memerlukan setiap penjawat awam menghasilkan kerja yang mampu diterima ramai dan mendapat pengiktirafan, selain `sokmo’ iaitu mengulangi sesuatu amalan atau kerja dengan kerap kali bagi mencapai tahap dikehendaki.

Konsep S yang seterusnya, sokongan iaitu setiap penjawat awam perlu saling memberi penghargaan dan perangsang sesama rakan sejawat atau kepada pekerja bawahan supaya dapat meningkatkan moral serta semangat dalam menjalankan tugas.

Manakala S ke-46 ialah soleh yang memerlukan setiap penjawat awam patuh pada arahan ketua, spontan pula kakitangan perlu sentiasa bersedia dan melakukan kerja serta-merta tanpa menunggu arahan semata-mata bagi melancarkan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.

“S yang ke-49 adalah `sporting’, di mana penjawat awam perlu berfikiran terbuka, cergas dan tangkas setiap masa. S terakhir, stamina yang memerlukan kepada daya tahan serta kekuatan fizikal dalam melaksanakan setiap amalan seharian,”katanya.
Sementara itu, seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober lalu.

Antara penerima anugerah itu ialah pembantu tadbir Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Encik Zulkifli Hashim; Puan Latifah Jusoh pembantu tadbir (Bahagian Agama dan Penerangan), Abu Bakar Abdullah (Khidmat Pengurusan); Encik Ahmad Fadzir Jusoh (Pejabat Menteri Besar); dan Cik Wan Mariam Muhamad pembantu tadbir di Pejabat Kerajaan Tempatan.





ETP perkasakan penguasaan BI

Oleh: Aida Abd Rahman

Syarikat ExxonMobil berhasrat menaja penubuhan Taman Tema Bahasa Inggeris (ETP) di Kuala Berang, Hulu Terengganu bagi memenuhi tanggungjawab sosial sekaligus memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negeri ini.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan, Subsidiari ExxonMobil, Encik Farid Jaafar berkata, kemudahan ETP dijangka diwujudkan tahun ini itu adalah ETP ketiga di negeri ini selepas ETP Kemasik dan ETP Tok Jiring.

“Kemudahan taman ini bertujuan menggalakkan pengunaan dan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di kawasan itu selain dengan pelbagai bahan rujukan dan alat bantu pembelajaran mampu mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan sekali gus mampu menarik perhatian mereka,” katanya.

Selain itu, menurut Encik Farid, sambutan yang diterima daripada pelajar di kedua-dua ETP sangat baik, di mana ETP Tok Jiring yang mula beroperasi sejak 2009 lalu berjaya memberi kemudahan kepada pelajar dari lebih 50 sekolah rendah sekitar Kuala Terengganu.

“Penubuhan ETP ketiga yang akan diwujudkan di Kuala Berang diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar Hulu Terengganu pula untuk menikmati kemudahan pembelajaran bahasa Inggeris.

“Saya pasti usaha ini dapat membantu mereka meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang juga bahasa antarabangsa,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Komuniti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Bersama ExxonMobil di balairaya Teluk Ketapang, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Sementara itu, perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Ahmad Razif Abd Rahman.

Terdahulu, Encik Farid menyampaikan replika cek bernilai RM86,000 kepada Ketua Pengarah LPPKN, Dr Anjli Doshi bagi menjayakan Program Klinik Komuniti Bergerak LPPKN sebagai salah satu skop tanggungjawab sosial ExxonMobil terhadap komuniti setempat.



24 January 2012

Pembinaan kem tentera rancak pembangunan Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri merancang membina kem tentera di kawasan seluas 800 hektar di Jenang, Marang yang mampu merancakkan lagi pembangunan daerah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan syarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata kem yang bakal dibangunkan di Kampung Tebuang itu dapat menempatkan 5,000 anggota dan dilengkapi pelbagai prasarana bagi menyokong pembinaan kem itu nanti.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Berangan, berkata projek itu dijangka menjadi kenyataan selewat-lewatnya selepas pilihan raya umum akan datang.

"Kita harap ekonomi penduduk Marang secara tidak langsung akan turut meningkat selari dengan pembangunan yang akan dilaksanakan nanti," katanya .

Selain itu juga, dengan adanya kem tentera itu juga secara tidak langsung akan membantu menambah jumlah pelajar Sekolah Kebangsaan Jenang yang menghadapi ketandusan pelajar.

Beliau berkata dengan adanya kem tentera serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) di daerah itu akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan yang dapat menambah pendapatan penduduk di daerah ini.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri juga telah meluluskan pembinaan sebuah masjid baru berharga RM5 juta yang dapat menampung lebih 1,000 jemaah tahun ini di Kampung Pengkalan Berangan.