Halaman

13 February 2012

Kawasan pengeluaran agro-makanan di setiap mukim

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan mewujudkan kawasan mini pengeluaran agro-makanan untuk sayur-sayuran dan tanaman ladang di setiap mukim dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha'ari Idris, berkata ia bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan seperti yang termaktub dalam dasar makanan negara.

"Kita harap satu mukim satu kawasan pengeluaran agro-makanan ini akan dapat dilaksanakan dengan segera," katanya.

Beliau berkata penghulu-penghulu mukim telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk projek itu di mukim masing-masing.
“Bagi mewujudkan mini pengeluaran agro-makanan ini memerlukan kawasan seluas antara empat hingga 30 hektar di setiap mukim dan ia akan diusahakan oleh petani sendiri.
“Kemudahan itu akan menjadi satu tempat pengeluaran hasil pertanian secara kekal untuk kegunaan petani-petani,” katanya.

Katanya, agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan lain-lain akan dapat memberi tumpuan kepada infrastruktur dan sebagainya selain khidmat nasihat berterusan.

“Projek itu akan diwujudkan berhampiran kampung bagi memudahkan petani membawa hasil tanaman mereka ke situ.

“Ladang pengeluaran makanan yang besar dan diusahakan oleh pengusaha-pengusaha dan syarikat-syarikat besar,” katanya.

Katanya mini pengeluaran agro-makanan itu juga bertujuan mendidik usahawasan-usahawan kecil supaya bertambah maju dan berjaya.






Hulu Terengganu terima ‘durian runtuh’

Menteri Besar disambut pemimpin JKKK daerah Hulu Terengganu sebaik tiba di Dewan Majlis Daerah. - Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

Oleh: Mastura Jamaluddin

Daerah Hulu Terengganu menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM6.7 juta bagi meluruskan dan melebarkan alur Sungai Pertang, bertujuan mengatasi masalah banjir.

Peruntukan tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, petang semalam pada majlis perjumpaan dengan pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Hulu Terengganu, di Dewan Majlis Daerah.

Beliau berkata, Hulu Terengganu merupakan salah sebuah JKKK terbaik di negeri Terengganu dan jenteranya perlu diperkukuhkan di peringkat akar umbi, bagi melicinkan pentadbiran negeri.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Tengku Putera bin Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri,Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, YB Mohd Zawawi Ismail; ADUN Ajil Dato’ Haji Rosol Wahid; Ahli Parlimen Hulu Terengganu Haji Mohd Nor Othman, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali.

Selain daripada itu,Menteri Besar turut mengumumkan kelulusan dewan serbaguna yang memuatkan 3000 orang bersebelahan Hospital Hulu Terengganu.

Beliau menyatakan kerja-kerja menambun tanah boleh dilakukan bagi mempercepatkan pembinaannya.

Sebuah Kompleks Sukan Daerah Hulu Terengganu juga telah diluluskan dan segala urusan berkaitan dengannya di serahkan kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu.


hulu terengganu terima"durian runtuh"







PAS MEMANG AJARAN SESAT- Bahagian Pertama:

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Mengapa tiba-tiba Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik melenting bila Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menyatakan Pas parti ajaran sesat.

Mengapa tidak sesatnya:

“Menentang Pas adalah haram mengikut al-Quran”- ini kata-kata Mursyidul Am sendiri dalam satu kenyataan akhbar pda 24 April 1994.

Tidak berniat untuk mengulas panjang, tetapi bila menentang Pas itu haram bermakna berdosa.

Sesuailah pula dengan kenyataan bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor dalam akhbar milik parti itu, Harakah pada 3 Oktober 1997 bahawa: “Umat Islam wajib sertai Pas”.

Sekali lagi penulis tidak berniat hendak mengupas kenyataan ini, tetapi apabila wajib maka berdosalah orang Islam tidak menyertai Pas atau menyertai parti lain, jadi bagaimana pula umat Islam di negara lain yang tidak ada Pas?

Bahkan orang yang hendak mengambil tindakan undang-undang kepada Menteri Besar Terengganu itu sendiri pernah menyatakan “Pas Parti Allah”. Tidakkah sesat itu?

Presiden Pas sendiri, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengkafirkan orang-orang Umno melalui ucapannya di Banggol Peradong pada 7 April 1981. Antara lain menurut Haji Hadi orang Umno menjadi kafir kerana telah menyokong perlembagaan negara (mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir, peraturan jahiliyyah” yang bukan merupakan perlembagaan Islam.

Ucapan iti tidak ditarik balik hingga sekarang. Kesan dari ucapan itulah menyebabkan pengikut Pas dari Kedah, Ustaz Ibrahim Libya didakwa oleh Haji Hadi ‘mati syahid” dan ditanam tanpa dikafankan.

Fatwa mati syahid melawan puak-puak Umno yang dikafirkan itu tidakkah ajaran sesat?
Peliknya dalam buku jingga , Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia, yang turut ditandatangani bersama oleh Haji Hadi, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, muka surat 23 Dasar Bersama Mereka ialah MEMPERTAHANKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

Perlembagaan yang difatwakan tidak Islam itu dan menjadi kafir orang Umno kerana mendokong perlembagaan itu serta mati syahid kalau mati menentang orang-orang Umno yang mengekalkan perlembagaan itu, TETAPI KINI HAJI HADI SENDIRI MAHU PERTAHANKAN???

Dan banyak lagilah fakta-fakta kesesatan Pas akan penulis bongkarkan.

12 February 2012

Kompleks sukan mini untuk penduduk Hulu Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk Hulu Terengganu bakal menerima sebuah kompleks sukan mini bernilai RM1.5 juta yang akan dibangunkan di kawasan berkeluasan 10 hektar di Kampung Paya Besar, Kuala Berang, tidak lama lagi.

Sehingga kini, kerajaan negeri akan mengeluarkan tender bagi memastikan kerja-kerja tanah dilaksanakan segera sebelum tender bangunan dikeluarkan dalam tempoh setahun kemudian.

Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas kerja meratakan tapak dan memastikan tapak selamat dalam tempoh masa setahun , pihaknya akan mengeluarkan tender bagi mendirikan bangunan kompleks sukan mini itu.

“Kalau tidak selamat dan berlaku penurunan tanah, berlaku bangunan retak pula. Kita sudah ada peruntukan RM1.5 juta dan boleh lakukan kerja tanah dengan segera.

“Saya minta supaya cari reka bentuk stadium yang baru, sebagaimana Kemaman dan Besut reka bentuknya yang asal dan sudah ketinggalan zaman serta tidak sesuai lagi dengan masa kini,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), hari ini.



Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang Haji Zawawi Ismail.

Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali.




Peruntukan RM6.7 j bina tebatan banjir di Sungai Pertang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM6.7 juta untuk membina tebatan banjir bagi mendalam dan melebarkan Sungai Pertang, Hulu Terengganu yang bertujuan mengelak masalah banjir di pekan Kuala Berang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain projek di Sungai Pertang yang melibatkan kawasan sepanjang 11 kilometer, dua kolam takungan juga dibangunkan di kawasan itu termasuk satu daripadanya dibina pada tahun lalu bagi tujuan yang sama.

“Pada tahun lalu, kita sudah beri satu pembinanan kolam takungan dan selepas ini satu lagi kolam takungan dibuat sebaik sahaja kerja melebar dan mendalam Sungai Pertang RM6.7 juta ini disiapkan.



“Saya minta Jabatan Pengairan dan Saliran Hulu Terengganu supaya dapat mengeluarkan tender segera yang boleh bagi mempercepatkan kerja tersebut,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang Haji Zawawi Ismail.
Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua MDHT, Haji Talaha Ali.

Dalam pada itu, lawatan kerja Menteri Besar ke Hulu Terengganu adalah yang ketiga selepas di Kemaman dan Marang.

Sebagaimana daerah lain, Menteri Besar turut meluluskan peruntukan RM750,000 bagi kerja-kerja melebar, menaik taraf dan membaiki semula jalan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Hulu Terengganu yang keseluruhannya melibatkan RM3 juta.



Selain itu, beliau turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan, MDHT dan JPS memperincikan setiap permintaan penduduk untuk membina longkang dan perparitan bagi membolehkan pihaknya menjalankan kajian semula dari aspek saiz dan kos sebelum kelulusan dibuat dari masa ke semasa.



Kerajaan tawar RM15,000 pencipta lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menawarkan hadiah utama berjumlah RM15,000 kepada mereka yang berjaya mencipta lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Antara syarat penyertaan, lagu ciptaan asal dan tidak melebihi jangka masa empat minit serta boleh menggunakan khidmat penulis lirik tetapi hanya pecipta lagu diterima sebagai peserta.

Ciptaan lagu juga bebas dan tidak terhad manakala penilaian diberikan kepada aspek kreativiti melodi yang bermutu, bernilai komersial dan menepati kriteria penciptaan yang professional serta mempunyai elemen kebudayaan dan kesenian warisan negeri.

Penyertaan juga hendaklah disertakan dalam bentuk CD dengan rakaman suara menggunakan sekurang-kurangnya satu alat muzik iringan dan menyertakan skor/notasi dengan lirik di bawah melodi.

Lagu-lagu yang telah dihantar dan dipilih ke peringkat akhir sahaja akan menjadi hak milik Pejabat Setiausaha Kerajaan.

Penyertaan terbuka kepada semua rakyat di negeri ini berusia 18 tahun keatas yang menetap di dalam atau luar Terengganu.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di pejabat SUKTRA, Bangunan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak atau muat turun melalui laman web www.terengganu.gov.my.

Borang penyertaan hendaklah dihantar kepada Pertandingan Mencipta Lagu ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ , SUKTRA Terengganu, Tingkat Bawah (Pintu Utara) Bangunan Stadium Tertutup, Kompeks Sukan Negeri Terengganu, 21300 Gong Badak, Kuala Terengganu.

Penyertaan pertandingan adalah percuma dan tarikh tutup pertandingan pada 29 Februari 2012. Sebarang pertanyaan boleh hubungi melalui talian 09-6670221.





Masalah lampu – Waktu perlawanan Terengganu, T-Team mungkin diubah

Oleh FAUZI MOHD

Kegagalan mengatasi masalah lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) mungkin akan menyebabkan perlawanan antara pasukan Terengganu dan T-Team diadakan pada waktu petang.

Koordinator perlawanan FAM pada perlawanan T-Team menentang Perak malam tadi, Abd. Ghani Ishak berkata, jika masalah itu berterusan, berkemungkinan perlawanan membabitkan pasukan Terengganu Selasa ini diadakan pada sebelah petang.

"Hasil pemeriksaan di SSINS malam tadi mendapati cahaya lampu limpah di stadium itu tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan FAM iaitu 800 lux untuk perlawanan Liga Malaysia diadakan pada sebelah malam.

"Bacaannya hanya mencapai 500 lux dan ia tidak melepasi piawaian. Saya akan menghantar laporan serta-merta kepada FAM dan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan di seluruh stadium itu dan mendapati setiap sudut di SSINS tidak mempunyai pencahayaan yang cukup.

Stadium perlu mempunyai tahap cahaya lampu limpah minimum 800 lux untuk perlawanan Liga M dan manakala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan 1,200 lux sebagai syarat minimum untuk perlawanan Piala AFC.

Kegagalan memenuhi kriteria itu memerlukan perlawanan diadakan pada waktu petang.


Pesta Buku Negeri Terengganu 2012



Antara program yang akan diadakan ialah; Bicara Karya, Pertandingan Jigsaw Puzzle Tahap I dan II, Pertandingan Meneka Muka Surat Buku, Sepetang Bersama Penulis Buku Ombak Rindu - Fauziah Ashari, Melukis dan Mewarna Pra Sekolah, Tahap I dan II, Info Race, Riang Ria Bersama Adik Nur Fathiah (Boboi Boy), Sejenak Bersama Kartunis Ubi, Sembang Pagi Bersama Pakar Motivasi - Amin Idris.

Penjawat awam perlu telus laksana tugas

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di negeri ini di minta membuang sikap gemar menghentam etika dan dasar yang dilaksanakan kerajaan sebaliknya perlu amanah serta bersikap telus supaya mampu mencapai matlamat yang dihasratkan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap mereka yang gemar menghentam kerajaan dan tidak amanah memikul tanggungjawab yang patut digalas.

“Mereka patut sedar wujudnya kerajaan hari ini adalah hasil kejayaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya bergantung kepada mana-mana pihak.

“Pada masa sama, sikap gemar menyembunyikan fail patut dikikis bagi mengelak berlakunya `lambakan’ tugasan pada setiap tahun,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Pegawai Tadbir Negeri (TCS) Bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi, 11 Februari.



Kira-kira 200 TSC dari seluruh Terengganu dirai bagi mengenang tugasan dan jasa mereka kepada masyarat dan kerajaan Terengganu.



Dato’ Seri Haji Ahmad menyampaikan cenderahati khas kepada TCS yang telah bersara.
Beliau turut memberitahu setiap penjawat awam terutama yang berusia 50-an perlu mengamalkan pemakanan sihat di samping membuat pemeriksaan doktor secara berkala bagi mengekalkan kesihatan sempurna.

“Kerajaan negeri sedia membantu bagi mereka yang mengalami masalah penyakit kronik seperti jantung, diabetis dan sebagainya dengan mendapat rawat di Pusat Purubatan i-Heal,” katanya.




Penjawat Awam Perlu Telus Laksana Tugas





Maidam sasar kutipan zakat RM100 juta

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjangkakan kutipan zakat sebanyak RM100 juta pada tahun ini, berikutan kedudukan ekonomi global yang semakin beransur baik.

Pada tahun lepas, Maidam memperoleh kutipan sebanyak RM88 juta berbanding RM79 juta bagi tahun 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya menjangkakan zakat perniagaan dan zakat pendapatan memberi sumbangan paling besar kepada peningkatan kutipan ini.

"Keadaan ekonomi kita bertambah baik, secara tidak langsung perniagaan mana-mana pemilik sama ada syarikat besar atau usahawan kecil bertambah maju. Faktor ini mendorong mereka mengeluarkan zakat lebih tinggi pada setiap tahun.

“Pada masa sama, pihak kami bersyukur kerana timbul kesedaran terhadap kewajipan membayar zakat di kalangan umat Islam,” katanya kepada Teganukita.

Maidam melantik 12 ejen di seluruh negeri untuk mengutip zakat daripada pelbagai agensi termasuk bank, koperasi dan pihak swasta bertujuan memudahkan orang ramai membayar zakat serta menguruskan kutipan.

“Pihak kami masih melantik amil bertauliah untuk mengutip pelbagai kategori zakat sama ada zakat pendapatan, zakat ternakan, zakat tanaman dan zakat emas dan perak.

“Setiap zakat yang diperoleh akan diagihkan kepada lapan asnaf yang layak iaitu faqir, miskin, amil, riqad (pejuang Islam), al-Gharimin (pelbagai), ibnussabil (pengembara), fisabilillah dan muallaf,” katanya.