Halaman

13 February 2012

Kawasan pengeluaran agro-makanan di setiap mukim

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan mewujudkan kawasan mini pengeluaran agro-makanan untuk sayur-sayuran dan tanaman ladang di setiap mukim dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha'ari Idris, berkata ia bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan seperti yang termaktub dalam dasar makanan negara.

"Kita harap satu mukim satu kawasan pengeluaran agro-makanan ini akan dapat dilaksanakan dengan segera," katanya.

Beliau berkata penghulu-penghulu mukim telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk projek itu di mukim masing-masing.
“Bagi mewujudkan mini pengeluaran agro-makanan ini memerlukan kawasan seluas antara empat hingga 30 hektar di setiap mukim dan ia akan diusahakan oleh petani sendiri.
“Kemudahan itu akan menjadi satu tempat pengeluaran hasil pertanian secara kekal untuk kegunaan petani-petani,” katanya.

Katanya, agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan lain-lain akan dapat memberi tumpuan kepada infrastruktur dan sebagainya selain khidmat nasihat berterusan.

“Projek itu akan diwujudkan berhampiran kampung bagi memudahkan petani membawa hasil tanaman mereka ke situ.

“Ladang pengeluaran makanan yang besar dan diusahakan oleh pengusaha-pengusaha dan syarikat-syarikat besar,” katanya.

Katanya mini pengeluaran agro-makanan itu juga bertujuan mendidik usahawasan-usahawan kecil supaya bertambah maju dan berjaya.