Wartawan akhbar Teganukita, Aida Abd. Rahman diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Penulisan Berita Sukan Terbaik dalam Anugerah Kawat-ExxonMobil 2011 di Hotel Permai, Kuala Terengganu malam semalam.
Beliau yang membawa pulang wang tunai RM1,500 serta sijil penghargaan mengetepikan pencalonan Mustapa Lakawa (Kosmo!) di tempat kedua dan dan ketiga Abdul Malik Muhammad (Harian Metro).
Sementara itu, wartawan Kosmo!, Manirah Othman mengungguli kategori Penulisan Berita Terbaik sekaligus memperolehi wang tunai berjumlah RM1,500 menewaskan Siti Airunnisa Alaui dari Utusan Malaysia di tempat kedua (RM1,000) dan Muhammad Ishak dari Berita Harian terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan memperoleh wang tunai berjumlah RM750.
Manirah juga berjaya menggondol kategori Penulisan Rencana Terbaik mengatasi Mohd. Lazim Endut dari Sinar Harian dan Tuan Azam Tuan Johan (Bernama) sekaligus mencatat sejarah mengungguli kedua-dua kategori untuk tahun kedua berturut-turut.
Bagi kategori Penulisan Berita Ekonomi Terbaik pula, ia menjadi milik Siti Airunnisa dan diikuti oleh Fauzi Mohd. yang juga merupakan wartawan Utusan Malaysia manakala Mohd. Nazdy Harun (Harian Metro) di tempat ketiga.
Seorang lagi wartawan Utusan Malaysia, Radhuan Hussin turut mencatat nama selaku pemenang apabila mengungguli kategori yang baru pertama kali diperkenalkan iaitu Penulisan Berita Pendidikan Terbaik mengatasi Zainuddin Mohamad (NST) dan Sharipah Hunaini Syed Ismail (Bernama).
Foto Terbaik milik jurufoto NST, Rozainah Zakaria; kedua, Azlan Bahrum (Utusan Malaysia) dan ketiga milik Aswadi Alias (Harian Metro).
Laporan Berita TV Terbaik pula milik Ishak Abdillah (TV3) diikuti Aziz Che Man (RTM) dan Abdul Aziz Abdullah (TV3) manakala Anugerah Khas Radio menjadi milik juruhebah RTM, Suhaila Mat Daud.
Sementara itu, Anugerah Khas Presiden pula diberikan kepada Muhammad Danial Zainuddin, 17, pelajar austistik pendidikan khas yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu yang juga anak kepada wartawan NST, Zainuddin Mohammad.
Semua hadiah bagi anugerah itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek.
Hadir sama Pengerusi Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil (Malaysia), J. Hunter Farris dan Presiden Kawat, Ayob Mamat.
Sebanyak RM70,000 disumbangkan oleh ExxonMobil untuk program itu manakala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyumbang sebanyak RM20,000 untuk program yang sama.