Halaman

16 February 2012

Puak Pas yang ceroboh tanah kami : penduduk

Oleh: Aida Abd Rahman

“Kami sedih dan sungguh terkilan apabila mereka dengan tidak semena-mena `ceroboh’ tanah kami. Lepas mereka bersih semak samun, mereka pagar pula kawasan itu, sedangkan kami ada geran hak milik tanah yang membuktikan itu tanah kami,” kata Anita Ariffin, 45, isteri pemilik tanah di kawasan Kolam Mak Tagar, Paka, ketika ditemui di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, kelmarin (14 Februari).



Selain Anita, yang mewakili suaminya, Abd Ghani Muda, 57, dari Kampung Limbong, empat lagi pemilik tanah yang didakwa pembangkang sebagai `JKKK yang merampas tanah mereka’ turut tampil menunjukkan geran milik serta dokumen berkaitan pemilikan itu sambil menyifatkan pemimpin Pas sebagai berbohong bahawa mereka merampas tanah berkenaan.

Manakala Pengerusi JKKK Kampung Limbong, Ibrahim Abdullah, 50, berkata dia memohon tanah mengikut prosedur biasa dengan melakukan pendaftaran di Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Paka.

“Setahun kemudian kami dipanggil isi borang Jadual 1 dan selepas permohonan diluluskan kami mengisi Borang Jadual 5 sebelum membuat bayaran dan memperolehi geran hak milik. Oleh itu, tidak ada sebab untuk kami dituduh merampas tanah mereka (pembangkang).

“Saya rasa sedih, tanah pertama yang berjaya diperolehi selepas beberapa tahun memohon akhirnya dihalang oleh orang yang cuba menunjukkan kuasa untuk menggagalkan permohonan kami,” katanya yang kini masih menumpang di tanah milik keluarga.

Sementara Pengerusi JKKK Telaga Mas, Encik Ali Mohamamd, 59, berkata hasil pertemuan dengan pihak SRIDB untuk membincangkan kejadian itu menyebabkan pihak SRDIB mengambil kesempatan menggunakan salinan fotostat geran hak milik tanah penduduk sebagai bahan untuk diedarkan kepada umum menyatakan lima JKKK itu pula yang menceroboh tanah mereka.

“Kita sangat dukacita kerana mereka mengambil kesempatan atas kejujuran kita menunjukkan geran tanah dan menjelaskan perkara sebenar berhubung isu itu. Pas memutarbelitkan kejadian. Kita bukannya merampas tanah mereka.

“Malah, mereka pula menuduh kita mahu merobohkan sekolah rendah itu. Walhal, pada hakikatnya kita hanya mempertahankan hak milik kita di luar pagar kawasan sekolah.
Kita tidak langsung mahu merobohkan sekolah itu,” katanya.

Menurutnya, Pas mencipta isu ini untuk menarik perhatian rakyat demi meraih sokongan terhadap mereka pada pilihan raya umum nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Paka, YB Zakaria @ Ariffin Abdullah berkata, tanah berkenaan bukan hak milik pembangkang berikutan tanah yang menempatkan sekolah itu tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Dungun.

Untuk rekod, SRIDB yang ditubuhkan pada 2001 atas tanah kerajaan dan berstatus haram. Tanah bangunan sekolah ini pernah diluluskan oleh Kerajaan Pas pada 2003 dalam bentuk permohonan pendudukan sementara (Tol) dan mereka hanya pernah membayar Tol sekali sahaja kepada kerajaan negeri pada ketika itu.

Kerajaan negeri yang mengambil alih pentadbiran pada 2004 dan membahagikan tanah yang tidak melibatkan langsung kawasan SRIDB itu kepada lima penduduk termasuk JKKK yang didakwa oleh pembangkang sebagai merampas tanah SRIDB.

Tanah yang dibahagikan itu berada di luar daripada kawasan SRIDB dan merupakan tanah hak milik peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kolam Permai yang diluluskan sejak 1997.

Seterusnya pada 2001 Kerajaan Pas mengeluarkan 34 lot Tol kepada peserta RTB Kolam Permai dan hanya tujuh lot yang dikosongkan (lot yang didakwa pembangkang dirampas JKKK), disebabkan di atas lot ini terdapat pembinaan secara haram termasuk rumah yang dibangunkan penduduk Paka.

Adun Paka bertindak memindahkan penduduk yang tinggal secara haram itu ke penempatan baru di Kampung Telaga Mas, Paka.

Sementara itu, pada 2011, Adun Paka turut memohon pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan berhubung perkara itu bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tanah kepada peserta yang layak di RTB Kolam Permai itu.