Halaman

15 February 2012

Sultan Mizan lancar ‘A New Landmark of Malaysia Antartic Research Programme’

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan buku terbitan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) mengenai benua Antartika yang bertajuk ‘A New Landmark of Malaysia Antartic Research Programme’.

Buku bergambar setebal 184 muka surat itu menceritakan mengenai benua paling sejuk di dunia itu dan juga penglibatan Malaysia dalam kajian di Antartika.

Ia akan dijual di pasaran minggu depan dengan harga RM280 sebuah.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili; Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang dan Pengerusi Program Penyelidikan Malaysia Antartika ASM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor.

Menurut Dato’ Seri Dr. Maximus, penerbitan buku itu merupakan keputusan yang dibuat Kabinet berikutan lawatan kerja Sultan Mizan ke benua tersebut November tahun lepas sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

"Selain itu, keputusan lain ialah merangka akta baru yang masih dalam peringkat pembentangan di Parlimen, pengeluaran setem kenangan yang bakal berada di pasaran pada April ini serta mewujudkan Anugerah Fellowship Kajian Kutub Sultan Mizan.

"Semuanya bertujuan melipatgandakan penglibatan aktif Malaysia dalam penyelidikan dan penerokaan di kutub serta menarik minat golongan muda dalam bidang ini," katanya selepas majlis pelancaran itu di Kuala Lumpur, semalam.