Oleh: Suriati Ali
Naskah al-Quran bersadur emas yang berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China dan bernilai kira-kira RM170 juta menarik minat orang ramai yang mengunjungi Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu.
Atrifak berharga lain yang dipamerkan pada pameran yang berlangsung selama enam bulan iaitu bermula 14 Februari hingga 14 Ogos itu, termasuk perkakasan yang dihiasi emas dan batu permata, koleksi cop mohor dari pelbagai dinasti, pasu seramik berusia 1,400 tahun, pasu porcelain, jade dari budaya budaya `Hong Sun’ dan kuda hiasan dari dinasti Tang.
Timbalan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Encik Che Azmi Ngah, berkata sebanyak 80 artifak dipamerkan pada pameran yang julung kali diadakan itu semata-mata mahu menarik minat orang ramai dan pelancong asing mengunjungi muzium.
Katanya, artifak al-Quran emas merupakan satu contoh daripada puluhan simbol kesenian Islam yang bernilai jutaan ringgit dari pelbagai dinasti-dinasti China mampu menarik minat orang ramai.
“Selain ingin melahirkan rasa bangga dan menghargai perjuangan orang Islam terdahulu dengan melihat dan menghayati keindahan seni islam sejagat, “ katanya ketika berucap di Majlis perasmian Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu, semalam (14 Februari).
Pameran pembuka tirai 2012 itu turut mendapat kerjasama daripada syarikat pengurusan artifak, Topchain Capital Sdn. Bhd. serta Majlis Pengarang dan Sastera Terengganu (Master).
Pameran bertaraf antarabangsa itu berbentuk ilmiah dengan mampamerkan artifak-artifak autentik yang tidak ternilai harganya dan jauh dari pengetahuan masyarakat kita.
Turut diadakan sepanjang pameran itu, pertandingan penulisan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan murid sekolah, kuiz bulanan dan cabutan hadiah kepada pengunjung bertuah.
