Halaman

17 February 2012

3,000 spesies orkid warnai tiga pulau di Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD



Lebih 3,000 spesies orkid bakal mewarnai tiga buah pulau seluas 2.7 hektar yang sedang dibangunkan di Pulau Hulu Selimbar, Pulau Hilir Selimbar dan Pulau Belit di Tasik Kenyir, dekat sini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, projek pelancongan bernilai RM2 juta itu akan ditanam spesies orkid liar serta hibrid dari dalam dan luar negara seperti Thailand, China dan Taiwan.



Menurutnya, projek itu kini mencapai tahap 35 peratus siap dengan tanaman 400 spesies orkid dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

“Sebahagian spesies orkid liar yang bakal ditempatkan di pulau ini berasal dari Terengganu yang diperolehi dari sekitar tasik ini sendiri, Chemerong di Dungun, kawasan Gunung Tebu (Besut) dan Lata Payong (Setiu).

“Apabila siap kelak, pengunjung boleh melihat pelbagai jenis orkid termasuk yang terbesar di dunia dan yang paling kecil, hanya boleh dilihat dengan kanta pembesar dan ada juga yang paling wangi dan paling busuk” katanya kepada pemberita membuat lawatan ke pulau berkenaan semalam.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi negeri, Dato' Mat Razali Kasim dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud.

Tambah Dato' Seri Ahmad, dua jambatan yang menghubungkan tiga pulau itu telah siap termasuk sebuah jambatan gantung dan laluan pejalan kaki.



“Kini, kontraktor sedang membina kiosk jualan dan cenderamata, pusat penyelidikan dan pembenihan orkid serta beberapa lagi kemudahan lain.

“Pelbagai jenis dan warna orkid hibrid boleh dibeli pengunjung apabila dibuka kelak dan ada pokok orkid yang bernilai mencecah RM10,000 turut ditempatkan di pulau ini. Orkid yang mahal ini biasanya untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan ia spesies terancam,” katanya.

Jelas beliau, Pulau Orkid merupakan satu daripada 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara tasik buatan manusia itu sedang dibangunkan mengikut tema tertentu sebagai tarikan pengunjung melalui program ‘Kenyir Island Hopping’.



Dalam lawatan itu, Ahmad turut mengunjungi Taman Tropika seluas 5.5 hektar di Pulau Tekak Besar yang telah siap 85 peratus dengan hampir 3,000 spesies tumbuhan termasuk herba dan melawat Taman burung di Pulau Terengganu Mati seluas 1.7 hektar.