Halaman

13 February 2012

PTN diminta utamakan kualiti kerja

Oleh: Suriati Ali

Pegawai Tadbir Negeri (PTN) di Terengganu di minta menerapkan mentaliti gemar mengutamakan kualiti dan bukannya bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugasan yang dipertanggungjawab.

Yang Dipertua Persatuan Persatuan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Mohamad Kamil Othman. berkata masyarakat memerlukan pegawai yang mempunyai daya fikir tinggi, kemahiran menganalisis situasi, cekap mengatur strategi, bersikap kreatif, memiliki akhlak mulia dan etika terpuji.

Katanya, setiap PTN perlu membuat suatu anjakan berganda bagi menambah nilai pengetahuan, inovasi dan daya saing sekiranya serius ingin menangani cabaran baru.

“Lonjakan pembangunan kapasiti modal insan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata, namun begitu saya yakin usaha-usaha dapat dipergiatkan lagi supaya setiap PTN mudah memahami, menghayati dan menyusun strategi.

“Jika sebelum ini PTN bertindak sebagai pentadbir, kini perlu bertindak sebagai pengurus, pakar, profesional dan teknokrat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pegawai Tadbir Negeri (TCS) Bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Kira 200 PTN dari seluruh Terengganu hadir memeriahkan majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said .

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, dalam usaha untuk memberi nilai kepada modal insan yang hendak dibangunkan, mereka mesti menerapkan nilai-nilai terpuji dan membudayakan amalan murni dalam diri dan organisasi.

“Kita sebagai pegawai berintergriti, berbudi bahasa dan gemar berkongsi idea sewajarnnya menghindarkan sikap negatif dalam diri.

“Modal insan berintergriti dan warga PTN yang mempunyai minda kelas pertama sangat diperlukan untuk memberi perkhidmatan terbaik dan dan berkesan kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, apabila seseorang itu memilih untuk berkhidmat sebagai PTN, hakikatnya mereka memilih untuk berkhidmat untuk masyarakat dengan telus dan ikhlas dan bukannya kerana wang ringgit.

“Apabila kita berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu ibadah, nescaya ganjaran dan keberkatan hidup akan disusuli kemudian,” katanya