Oleh; Esah Abdullah
Seramai 50 orang ahli Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu menyertai kelas al-Quran Braille yang diadakan di Pusat Kegiatan Pertis, Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu.
Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Encik Mohd Fauzi Mansor berkata, kelas tersebut sudah beroperasi sejak lima tahun lalu dan merupakan satu-satunya yang masih bertahan di negara ini.
“Komitmen tinggi ahli-ahli serta sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT) menjadi faktor penting kelas pengajian Braille ini terus hidup hingga hari ini,” katanya.
Katanya, perkembangan ini sangat membanggakan persatuan berbanding negeri lain bertahan hanya beberapa bulan sahaja.
Menurutnya, kelas al-Quran Braille ini dibuka tiga hari dalam seminggu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengahari.
“Saya harap ahli Pertis tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk mendalami ilmu al-Quran hingga kehujung nyawa,” katanya.