Halaman

16 February 2012

Jabatan kesihatan siasat Hamster dikait dengan jangkitan Leptospirosis

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sedang menjalankan siasatan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pemeliharaan Hamster yang boleh menyebabkan jangkitan Leptospirosis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, jabatan juga sedang menyiasat kesahihan maklumat mengenai seorang pemelihara haiwan mamalia itu yang dipotong tangan dan kakinya bagi menentukan punca sebenar penyakit beliau.

“Leptospirosis sejenis penyakit zoonosis yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kompleks Rawatan Harian petang semalam.

Sumbangan dana berkenaan berjumlah RM2 juta telah disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, manusia boleh dijangkiti bila terdedah kepada air, makanan atau tanah yang dicemari dengan air kencing haiwan jenis mamalia seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, babi, kuda dan haiwan mamalia yang lain.

“Antara gejala jangkitan penyakit ini adalah demam yang tinggi, sakit kepala, mengiggil, sakit otot, muntah, penyakit kuning, radang mata, sakit perut, cirit birit, batuk dan ruam di kulit,” katanya.

Beliau seterusnya meminta orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan juga kebersihan persekitaran.

Menurutnya, memandangkan cara jangkitan utama Leptospirosis melalui kulit atau selaput membran, orang ramai mestilah berhati-hati sekiranya ada luka, calar pada kulit, kudis dan sebagainya ketika mengendalikan haiwan peliharaan.

“Bagi mereka yag mempunyai risiko terdedah kepada air yang tercemar hendaklah sentiasa berkasut dan berpakaian sempurna atau sebaiknya pakaian kalis air,” katanya.

Dr. A. Rahman meminta orang ramai segera mendapatkan rawatan jika terdapat gejala penyakit dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi tempat rekreasi dan rawatan awal dengan antibiotik dapat mengelakkan komplikasi dan kematian.