Halaman

16 February 2012

Lampu limpah padam memalukan : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejadian lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang tiba-tiba terpadam lebih 30 minit ketika perlawanan antara Terengganu dengan Kedah berlangsung malam kelmarin dianggap insiden yang amat memalukan.

“Ini yang saya marah dan perkara ini amat memalukan, sepatutnya pihak bertanggungjawab sama ada MBKT atau PBSNT memaklumkan keadaan sebenar.

“Sampai sekarang tiada pihak datang jumpa saya untuk menjelaskan dan menceritakan keperluan sebenar ataupun beri penjelasan kepada Exco yang berkenaan,” kata beliau sejurus Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (15 Februari).

Katanya, lebih baik perlawanan dijalankan pada waktu siang jika pencahayaan lampu limpah itu gagal memenuhi piawaian ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menteri Besar berkata, masalah itu timbul berikutan kadar pencahayaan yang dikatakan tidak mencukupi terutama untuk pertandinagn Piala AFC yang memerlukan sehingga 1,200 lux.

“Masalah sekarang, kita tidak dapat maklumat sebenar dan dari segi teknikal pihak bertanggungjawab sepatutnya memberitahu perkara ini lebih awal.

“Kata 800 lux sudah cukup dan sekarang tidak cukup balik. Ini sepatutnya sama ada MBKT atau PBSNT beritahulah (tahap pencayaaan yang diperlukan)..senang kita selesai. Kita tidak kisah belanja RM3 juta, RM4 juta..kita pasanglah,” katanya.