Halaman

23 March 2012

4 tahun Ahmad Said abdikan diri untuk rakyat Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Diam tak diam, tanggal 23 Mac 2012, genap empat tahun Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menerajui pentadbiran Negeri Terengganu, berpaksikan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Walaupun tidak pernah mengimpikan jawatan tertinggi dalam Kerajaan Terengganu, kegigihan beliau menerajui pentadbiran negeri ini, membolehkan banyak kejayaan digapai dalam pelbagai bidang.

Sikap Menteri Besar yang ‘low profile’ amat disenangi rakyat dan beliau begitu mudah didekati dalam setiap program yang dihadiri.

Sepanjang memegang jawatan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad tidak pernah jemu melayani penduduk tempatan yang memerlukan bantuan, walaupun kadang-kadang beliau terlalu penat kerana terpaksa hadir dalam banyak majlis yang diatur pihak berkenaan.

Ada kalanya dengan kaki terhincut-hincut kerana kecederaan lama di lutut, beliau tetap hadir pada majlis bertemu rakyat yang sudah lama diatur, semata-mata kerana tidak mahu menghampakan rakyat dan pihak penganjur.

Sepanjang tempoh pentadbiran beliau, kejayaan paling jelas diukir di bidang pendidikan di mana Terengganu muncul juara peringkat negara tahun ke-11 berturut-turut dalam peperiksaan UPSR, PMR dan STPM (ketiga berturut-turut) dan SPM (dua kali berturut-turut).

Bilangan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun yang khatam al-Quran semakin meningkat dari tahun ke tahun dan tahun ini dijangka lebih 30,000 orang mampu khatam al-Quran pada usia itu.

Dengan penyediaan biasiswa kepada pelajar cemerlang, semakin ramai lulusan SPM di negeri ini diberi peluang melanjutkan pelajaran di bidang perubatan di universiti luar negara, sekaligus membantu menambah bilangan doktor dan pakar perubatan untuk berkhidmat di seluruh negara .

Di bidang sukan pula, Terengganu muncul kuasa baru sukan tanah air apabila mengungguli SUKMA untuk kali ketiga berturut-turut, juara Piala FA 2011 serta naib juara Piala Malaysia dan Liga Super bagi musim 2011.

Manakala pada tahun ini, pasukan ‘Penyu’ dan T-Team berada antara pasukan teratas dalam Liga Super yang sedang berlangsung.

Hasil kegigihan kerajaan negeri meningkatkan bidang sukan, lahir ramai atlet bertaraf kebangsaan dan dunia seperti Azizulhasni Awang, Anuar Manan, Fatehah Mustafa dan Mohd Hariff Salleh.

Paling membanggakan, Terengganu mencatat sejarah sebagai negeri pertama menubuhkan pasukan lumba basikal, Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) yang kini sedang mengukir nama di persada antarabangsa.

Dalam usaha menambah peluang pekerjaan kepada rakyat, kerajaan negeri menarik pelaburan RM350 juta bagi melaksanakan projek pembangunan silika pertama dunia di Saujana dan projek Intergrated Shrimp Aquaculture Park (iSHARP) bernilai RM260 di Penarik, kedua-duanya di daerah Setiu.

Di bidang pelancongan, tahun ini kerajaan negeri mensasarkan kedatangan 3.78 juta pelancong di mana tahun 2013 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Terengganu. Bagi menarik pelancong, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk memajukan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan terulung di negara ini.

Pada tahun 2010, 44 projek diluluskan melibatkan modal RM2.86 bilion dengan anggaran 7,966 peluang pekerjaan diwujudkan manakala sejak awal tahun hingga Oktober 2011, 25 projek diluluskan dengan nilai pelaburan RM1.88 bilion (4,007 peluang pekerjaan).

Dalam tempoh empat tahun lalu, 23 projek Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik melibatkan kos RM659.73 juta dilaksanakan.

Malah, semua orang tahu Dato’ Ahmad terpaksa meniti ranjau dan duri serta jalan penuh liku untuk berada pada kedudukan sekarang ini.

Sesungguhnya takdir Tuhan tiada siapa yang mampu menolak, justeru beliau diberi kepercayaan untuk memikul amanah sebagai Menteri Besar Terengganu, selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-12.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, memperkenalkan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, khusus untuk rakyat Terengganu kerana bagi beliau dalam apa jua keadaan, rakyat menjadi agenda utama.

Bermula dari situ, Menteri Besar dalam setiap ucapan beliau sentiasa mengingatkan pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau memperkenalkan konsep 5M iaitu menjiwai, menghalusi, memahami, melaksana dan memantau, agar ia dihayati para pegawai dan kakitangan kerajaan.

Seawal pentadbirannya, Dato’ Ahmad yang berasal dari keluarga miskin, mengumumkan peruntukan yang besar bagi menggantikan atap rumah penduduk kampung yang bocor kerana masalah itu sering dikaitkan dengan kesusahan rakyat.

Beliau memansuhkan bayaran meter air bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah dan memperkenalkan program ladang rakyat yang melibatkan tanaman kelapa sawit secara besar-besaran bagi menampung pendapatan keluarga yang dikategorikan miskin tegar.

Mereka yang mempunyai kawasan lapang di belakang rumah pula diberikan benih pokok kelapa sawit secara percuma untuk ditanam sebagai sumber pendapatan sampingan.

Dato’ Ahmad memperkenalkan skim bantuan RM1,000 seorang bagi setiap pelajar tingkatan enam di Terengganu. Selama ini lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masuk ke tingkatan enam diabaikan kerana bantuan hanya tertumpu kepada mereka yang memasuki institusi pengajian tinggi.

Sebagai penghargaan kepada pendidik yang bertungkus-lumus mendidik pelajar hingga lulus dengan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan utama, kerajaan negeri menghadiahkan ‘pen drive’ kepada guru-guru.

Apa yang lebih membanggakan golongan pendidik, beliau menyampaikan sendiri buah tangan tersebut kepada setiap guru dalam program yang diatur seluruh negeri.

Dato’ Seri Ahmad menjadi wira rakyat apabila beliau memperjuangkan agar royalti minyak dipulangkan semula kepada negeri Terengganu dan permintaan itu ditunai Kerajaan Pusat.

Beliau juga menyediakan peruntukan yang besar bagi mewujudkan jelapang padi baru di beberapa kawasan di negeri ini serta memperkenalkan tanaman jagung hibrid bagi menambah pendapatan rakyat.

Menteri Besar memberi keutamaan kepada usaha menyediakan kediaman lebih selesa kepada penduduk tempatan, terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.
Kerajaan negeri mensasarkan untuk membina 10,000 unit rumah pelbagai jenis dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mulai tahun lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta bagi menubuhkan Tabung Penyakit Kronik di mana rakyat yang menghidap penyakit kronik diberi wang biaya untuk menyembuhkan penyakit mereka.

Sehingga ini ramai pesakit, terutama daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah menikmati kemudahan menerusi tabung tersebut.

Di bidang pendidikan pula, Dato’ Seri Ahmad memperkenalkan e-Book bagi meningkatkan mutu pendidikan di Terengganu, sekaligus menjadikan masyarakat negeri ini ‘celik komputer’.

Program tersebut mendapat pujian di kalangan pendidik, cendikiawan dan pemimpin kerajaan di dalam dan luar negara.

Di peringkat pra-sekolah pula, program Terengganu Brilliant Kids (TBKids) diperkenalkan bagi menarik minat kanak-kanak belajar menggunakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Di segi pembangunan bandar pula, usaha-usaha sedang dilakukan bagi menyusun semula kawasan bandar Kuala Terengganu di mana Projek Pangsapuri Ladang Gemilang sudah pun siap dan diagih kepada penduduk tempatan.

Bandar Kuala Terengganu bakal berubah wajah dengan pelaksanakan projek pembangunan Ladang Tok Pelam – Tanjung Kapur dan ‘water front’ di Kampung Cina.

Rakyat Terengganu kini sudah menikmati penerbangan terus ke Tanah Suci di mana bakal jemaah haji menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, terus ke Jeddah atau Madinah.

Terbaru, orang ramai juga berpeluang menunaikan haji menerusi penerbangan terus dari LTSM ke Jeddah.

Menjelang Aidilfitri pula, dana khas Hari Raya dikeluarkan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah membeli keperluan bagi menyambut hari lebaran.
Masyarakat Tionghua yang layak turut berpeluang menikmati bantuan khas RM300 setiap orang, setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.

Kerajaan negeri memutuskan untuk membuka semula Lombong Bukit Besi jika kajian mengenai jumlah kandungan bijih yang terdapat di kawasan itu mampu menghasilkan pendapatan tinggi.

Melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), T’Shoppe dibuka bagi memasarkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan dengan sasaran 90 buah rangkaian kedai T’Shoppe akan beroperasi di seluruh negara sehingga 2013.

Di bidang pelancongan, usaha-usaha dilakukan bagi meningkatkan sumbangan industri berkenaan agar Terengganu tidak bergantung kepada bidang petroleum semata-mata.

Tasik Kenyir dimajukan dengan projek Kenyir Island Hopping (KIH) yang meliputi pembangunan 10 buah pulau di utara Pengkalan Gawi.

Antara taman yang dibina termasuk Taman Rama-Rama, Taman Burung, Taman Orkid, Taman Herba dan Taman Tropika.

Santuari Kelah turut diwujudkan di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu bagi mempelbagaikan aktiviti mereka yang melancong ke situ.

Artifak purba berupa rangka manusia berusia 16,000 tahun yang ditemui di Gua Bewah akan dikekalkan di situ, sebagai daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir.

Pembinaan Taman Rekreasi dan Zoo di Bukit Takal, Kemaman pula kini menjadi destinasi pilihan baru pelancong ke Terengganu.

Manakala aktiviti ‘river cruise’ di Taman Tamadun Islam, menjadi satu tarikan orang ramai ke taman tema tersebut, sekaligus membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke Terengganu.

Dengan kesungguhan Menteri Besar membela nasib rakyat dan kesederhanaan beliau sejak dahulu hingga sekarang, sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional semakin meningkat.

Bagi membalas sokongan rakyat itu, kerajaan BN pimpinan Dato’ Seri Ahmad akan terus merancang pelbagai program bagi kesejahteraan dan kepetingan rakyat Terengganu.

Dalam setiap kali ucapannya, Menteri Besar berkata, pihaknya tidak mengharapkan apa-apa balasan dari rakyat, cuma satu saja permintaan iaitu “UNDILAH BN BILA TIBA PILIHAN RAYA”.

Kelab Veteran MAYC Terengganu akan dilancar

Oleh; Esah Abdullah

Kelab Veteran MAYC Malaysia mensasarkan paling kurang 500 orang ahli disetiap negeri bagi mengerakkan kelab berkenaan membantu kerajaan meneruskan Gagasan 1Malaysia.

Presidennya, Datuk Nasir Safar berkata, sehingga ini lima negeri telah berjaya menubuhkan kelab itu di negeri Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan.

“Kita sedang mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pelancarannya di Terengganu diikuti, Perak, Pulau Pinang dan Pahang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Wacana Terengganu Negeri Anjung Ilmu baru-baru ini.

Katanya, pihaknya berharap dapat menghimpunkan semua bekas-bekas pemimpin MAYC di seluruh negeri untuk mengeratkan persahabatan yang semakin jauh dan hambar kerana telah membawa haluan masing-masing.

“Kita bercadang untuk mengadakan majlis penghargaan kepada yang lama berkhidmat disamping memberi sumbangan kepada ahli yang uzur,” katanya.

Katanya, beberapa agenda telah dirangka terutama yang menjuruskan kepada usaha membantu kerajaan menjelaskan isu-isu berbangkit serta mengembalikan identiti orang Melayu yang dilihat semakin bercelaru .

Tambahnya, MAYC mempunyai ramai bekas pemimpin yang berpengalaman dan mereka tentunya bersedia memberi khidmat demi memantapkan perpaduan kalangan masyarakat hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya dijangka dapat melancarkan penubuhan kelab itu di negeri ini pada April depan namun tarikh belum ditetapkan.




Pencapaian SPM calon bandar, luar bandar meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 seluruh Terengganu mengikut lokasi bandar dan luar bandar mengikut Gred Purata Negeri (GPN) meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu , Encik Hashim Mohd Zin, berkata jurang perbezaan prestasi antara bandar dan luar bandar bagi 2011 ialah 0.47 mata, berbanding 0.47 mata pada 2010.

Katanya, pencapaian calon SPM 2011 semakin baik berbanding tahun sebelumnya bagi calon di bandar dan luar bandar di mana bandar meningkat sebanyak 0.09 dan luar bandar 0.13.

Dalam perkembangan yang sama, bilangan sekolah yang mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) kategori cemerlang (0.00-2.25) meningkat daripada tujuh sekolah (5.22 peratus) pada 2010 kepada lapan sekolah (5.93 peratus) pada 2011.

“Prestasi keseluruhan sekolah-sekolah negeri Terengganu berdasarkan GPS mengikut kategori pencapaian yang mana sebahagian besar sekolah dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan.

“Hanya satu sekolah sahaja (0.74 peratus) yang memperoleh pencapaian `berpotensi’ (GPS 6.76-9.00). Ini menunjukkan kesan positif daripada program Bai’ah dan Tawaran Baru (New Deals) antara pihak sekolah dengan KPM dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah dari segi pencapaian akademik,” katanya.

Katanya, penglibatan para pentadbir dan guru sekolah yang memainkan peranan degan cekap dan berkesan berjaya melahirkan pelajar yang berupaya mencapai kecemerlangan akademik.

Malah, beliau juga menaruh keyakinan sekolah yang memperoleh pencapaian berpotensi mampu mempertingkatkan pencapaian akademik anak didik sekolah mereka pada masa depan dengan perancangan yang sistematik, berkomitmen dan kegigihan yang berterusan.

“Sesungguhnya perancangan yang dilaksanakan selepas mengenal pasti permasalhan dan kekurangan yang perlu diperbaiki adalah penting kerana jika gagal merancang, maka kita sebenarnya merancang untuk gagal,” katanya.




Peruntukan RM15 juta biaya TMT 2013

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM15 juta bagi menjayakan strategi dan matlamat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, secara lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata kos promosi TMT 2013 terpaksa dinaikkan sekali ganda berbanding TMT 2008 kerana bayaran berkaitan promosi seperti tambang penerbangan ke luar negara dan bayaran kepada perunding meningkat.

Katanya, kerajaan sentiasa mencari peluang bagi menempatkan diri dalam sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan di dalam dan luar negara melalui Tourism Malaysia, termasuk menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul.

“Kerajaan negeri juga akan terus memperkasakan produk pelancongan sedia ada di samping memberi nilai tambah semua tempat peranginan.

“Terengganu turut memberi tumpuan kepada penganjuran acara pelancongan berasaskan destinasi seperti Kapas Marang International Swimathon; Fiesta Candat Sotong; Terengganu Master Golf Invitational; Kenyir Cup; Perhentian Island Challlenge; Kenyir Lake International Triathlon dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun,” katanya.

Menurutnya, projek Kenyir Island Hoping (KIH) di Tasik Kenyir yang merangkumi 10 10 pulau kecil, akan terus dimajukan sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu.

“Pada masa sama, kecantikan dan keunikan semua pulau itu, termasuk Pulau Herba, Pulau Rama-Rama, Pulau Burung, Pulau Orkid akan diilhamkan dalam bentuk corak pada kain songket dan sutera.

“Pendekatan ini sangat wajar kerana ia bukan hanya dapat mempromosi secara berterusan malah dapat meningkatkan lagi penjualan produk berkaitan,” katanya.


22 March 2012

iSHARP sasar 81 peratus eksport udang ke Jepun

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan melepaskan anak udang ketika mencemar duli mendengar taklimat operasi iSHARP di Setiu, Terengganu.

Oleh FAUZI MOHD

Gambar oleh Mohd Yahya Muda

Blue Archipelago Berhad yang memajukan penternakan udang putih di Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh, Setiu mensasarkan 81 peratus hasil pengeluarannya dieksport ke negara Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Ibrahim berkata, selain faktor permintaan yang tinggi, Jepun antara negara yang menempah udang tanpa kepala dan kulit.

Faktor itu katanya, membawa kepada kewujudan industri hiliran kepada usahawan tempatan dengan membuka kilang pemprosesan lain pada masa depan.

“Sisa kulit dan kepala udang boleh diprosesuntuk dijadikan baja. Tapi, ia perlu kajian mendalam dari pelbagai sudut termasuk teknologi dan pasaran jika ada minat daripada pengusaha tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan taklimat operasi iSHARP sempena keberangkatan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke ladang itu hari ini.

Mengiringi baginda berdua, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Asha’ari Idris dan kenamaan lain.


Tambah Abu Bakar, Terengganu bakal menjadi pengeluar udang putih terbesar negara apabila projek iSHARP beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Beliau berkata, dalam tempoh percubaan ini, ladang seluas 1,000 hektar itu sudah mengeluarkan hasil sehingga enam tan, iaitu lebih satu tan daripada sasaran awal.

“Menerusi fasa pertama, 216 kolam ternakan akan beroperasi sepenuhnya tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 2,100 tan udang setahun dan menjelang tahun 2013, sebanyak 400 kolam akan dibina.

"Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2013, iSHARP mampu menyediakan sehingga 1,200 peluang pekerjaan terutamanya kepada anak tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, ladang iSHARP dibangunkan Blue Archipelago, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad khusus untuk menternak udang secara teratur dan terkawal.

Katanya, kewujudan projek itu antara lain bagi menyuburkan perkongsian swasta, kerajaan negeri dan persekutuan bagi merancang gugusan akuakultur udang secara moden.

“Fasa kedua tahun hadapan, iSHARP akan mempunyai 400 kolam ternakan udang yang mampu menghasilkan 3,920 tan udang setahun.

“Apabila siap sepenuhnya, hasil pengeluaran iSHARP dijangka mencecah nilai pasaran RM78 juta setahun dan udang ini turut dieksport ke Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah,” katanya.

Katanya, pusat pembenihan udang di ladang itu mampu mengeluarkan satu bilion benih udang setahun, cukup untuk menampung keperluan iSHARP dan penternak kecil di Pantai Timur.

"Pada masa ini, 48 kolam telah mengeluarkan hasil udang dan seramai 108 pekerja telah memulakan tugas di iSHARP dimana 85 peratus daripada mereka adalah anak Terengganu.

"Pekerjaan yang diwujudkan itu mampu menjana pendapatan RM12 juta setahun dan secara langsung mampu meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.


Skuad Mubaligh kesan Muallaf

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menubuhkan Skuad Mubaligh sebagai langkah mengesan dan menjejaki 1,498 Muallaf yang tidak aktif.

Berdasarkan rekod sepanjang 21 tahun iaitu berakhir 2011, seramai 2,058 orang telah memeluk Islam dan hanya 560 Muallaf dikesan aktif dengan mengikuti kelas bimbingan saudara kita di 18 lokasi seluruh Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya serius mengesan mereka kerana dibimbangi pelbagai kemungkinan berlaku termasuk akan kembali kepada agama asal.

“Kebanyakan mereka gagal dikesan kerana dikaakan telah berkahwin, sudah berpindah ke negeri lain dan mendapat pendidikan agama Islam daripada keluarga angkat.

“Terdapat juga antara mereka lebih berminat mendapatkan ilmu Islam secara bersendirian dengan menghadiri cemarah agama di masjid atau surau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat di Wisma Darul Iman, semalam.

Haji Wan Harujan berkata, Skuad Mubaligh yang dianggotai 7 ahli berketurunan Cina, Orang Asli, India dan Kemboja itu akan mengesan secara terperinci termasuk mengambil tahu tentang pemahaman dan amalan hidup, tempat tinggal dan sebagainya.

“Pihaknya meluluskan peruntukan RM360,000 bagi membiayai aktiviti skuad itu sepanjang tahun ini,” katanya.







Kemasukan pelancong ke pulau perlu dihadkan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mungkin mengehadkan kedatangan pelancong ke pulau-pulau di negeri ini, terutama Pulau Redang bagi memulihara habitat laut.dan mengelak kawasan berkenaan daripada pencemaran alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata langkah itu amat wajar kerana hidupan laut seperti batu karang dan penyu kini semakin pupus akibat kelalaian pengusaha chalet dan pelancong.

Katanya, pelbagai faktor boleh menyebabkan aset laut itu mudah rosak, antaranya penggunaan `kaki itik’ (alat renang) serta sisa buangan seperti air sabun dan syampu.

“Pihak kami serius membendung masalah seumpama ini kerana dibimbangi generasi akan datang tidak lagi mengenali apa yang dimaksudkan batu karang.

“Kita masih lagi berbincang mengenai bagaimana cara mengatasi perkara ini secara berkesan supaya tidak mendatangkan kerugian mana-mana pihak iaitu kepada alam sekitar dan pengusaha chalet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebanyak 12 Kelab Program Pelancongan pelbagai sekolah di negeri ini menerima bantuan keseluruhan RM6,000 di mana setiap kelab mendapat RM500.

Dato’ Haji Rahin turut memberitahu, jumlah 2,000 pelancong yang mengunjungi pulau dalam tempoh sehari dianggap sudah memadai kerana dalam kadar itu penggunaan sisa buangan dapat dikawal.

“Mewujudkan pakej tertentu kepada pelancong seperti perlu berada di mana-mana lokasi menarik di daratan seperti di Tasik Kenyir, selama dua hari satu malam manakala berada di pulau pula dalam tempoh bersesuaian adalah wajar sebagai langkah mengatasi masalah yang dihadapi sekarang,” katanya.


Empat pelajar cacat turut cemerlang SPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Kekurangan dan kecacatan tidak menghalang empat Calon Berkeperluan Khas (CBK) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 mencapai keputusan cemerlang mengatasi calon normal yang lain.

Tiga daripada mereka adalah pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun, iaitu Nurul Alwani Mohd Zaib (kecacatan saraf) memperolehi 6A+, 2A, 2A- dan 1B+; Muhammad Azizi Mohd Rashdi (masalah pendengaran) 1A+, 4A, 5A- dan 1B+ serta Muhammad `Izzat Mohamad (sawan) mendapat 2A, 2A-, 3B, 1C+, 2C, 1D.

Seorang lagi pelajar Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Diman, Mohamad Amaluddin Othman yang mengalami masalah pendengaran mendapat 3A,1A-,2B+, 1C+ dan 2D.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu , Encik Hashim Mohd Zin, berkata empat calon cemerlang itu merupakan 37 daripada keseluruhan calon CBK SPM 2011, berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya.

“Jumlah CBK yang berjaya memperolehi sijil SPM meningkat berbanding tahun lalu. Seramai 25 calon (67.57 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 24 calon (58.54 peratus) pada 2010,” katanya.

Katanya, semua calon itu mendapat peluang yang sama seperti calon normal yang lain untuk menduduki peperiksaan dan seterusnya menerima pengiktirafan dengan adanya kemudahan pentaksiran yang disediakan bagi memenuhi keperluan mereka.

Sementara itu, Terengganu terus mengungguli kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 apabila merekodkan peningkatan dari segi Gred Purata Negeri (GPN), pencapaian keputusan Gred Cemerlang dan Minimum C berbanding pencapaian pada 2010.

Malah, keputusan itu turut mencatat rekod terbaik dalam tempoh empat tahun yang mana GPN meningkat 4.92 berbanding 5.03 pada 2010 serta mengatasi Gred Purata Nasional (5.04).

Manakala lapan sekolah berjaya mencapai keputusan terbaik berdasarkan Sekolah Berpencapaian Cemerlang (GPS 2.25 ke bawah).

Sekolah berkenaan, SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu(1.48),Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (Kuala Terengganu)(1.71), diikuti SM Imtiaz Dungun (1.82), SM Sains Kuala Terengganu (1.85), SMA Atas Sultan Zainal Abidin (1.86), SMKA Sheikh Abdul Malek (2.00), SMK Tengku Mahmud (Besut) (2.17) dan SM Imtiaz Kuala Berang (Hulu Terengganu) (2.18).




Program Jejak Inovasi 2012

Oleh: Che Mohd Hisham Che Jamaluddin

Program Jejak Inovasi Peringkat Negeri Terengganu bakal berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC),Kuala Terengganu pada 6 hingga 8 April ini.

Jurucakap program berkata, program anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Katanya, karnival ini melibatkan aktiviti seperti ‘scouting’ jejak inovasi, pameran inovasi dan YIMKid Invent yang akan disertai oleh pakar inovasi, sukarelawan, pelajar sekolah rendah dan agensi yang terlibat.

“Beliau berharap orang ramai di negeri ini di semua peringkat, memberi sambutan yang baik dan datang beramai-ramai ke karnival yang amat istimewa ini.

"Pelbagai pameran dan acara yang akan diadakan selama pameran ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan kepada Teganukita hari ini.





Politeknik Sultan Mizan muncul terbaik di Konvensyen Six Sigma

Oleh; Esah Abdullah

Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu (PSMZAT) muncul pasukan terbaik dalam Konvensyen Six Sigma Jemputan Politeknik Malaysia 2012 yang diadakan di Bandaraya Melaka Bersejarah baru-baru ini.

Pensyarah pengiring PSMZAT, Puan Yusma Mohd Yusof berkata, lapan politeknik dari seluruh negara termasuk dari Terengganu terpilih menyertai program itu dan telah membuat pembentangan kertas kerja masing-masing dengan menggunakan kaedah Six Sigma Dmaic iaitu Define, Measure, Analyze, Improve dan Control.

“PSMZAT menang menerusi projek bertajuk ‘Langkah Mengatasi Kelemahan Sistem Wifi di Kolej Politeknik Sulatan Mizan Zainal Abidin’,” katanya.

Katanya, empat peserta mewakili pasukan ialah, Norhayaty Abdul Wahab,21; Mariyati Alwi, 21; Wan Nurul Amilah Ibrahim, 21 dan Fatimatuliyana Jusoh, 22, begitu teruja kerana terpaksa bersaing dengan puluhan peserta dari seluruh negara.

Menurutnya, sebelum sesi pembentangan diadakan semua peserta diberi kursus selama 12 hari yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman bagi mendalami kemahiran kaedah yang digunakan secara meluas dalam industri pekerjaan di Malaysia, selain negara maju lain bagi membantu pengurusan organisasi.

“Kursus ini memberi input berguna berkaitan kemahiran seperti komunikasi, persembahan dan kemahiran menghadapi temuduga pekerjaan,” katanya.