Halaman

22 March 2012

Politeknik Sultan Mizan muncul terbaik di Konvensyen Six Sigma

Oleh; Esah Abdullah

Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu (PSMZAT) muncul pasukan terbaik dalam Konvensyen Six Sigma Jemputan Politeknik Malaysia 2012 yang diadakan di Bandaraya Melaka Bersejarah baru-baru ini.

Pensyarah pengiring PSMZAT, Puan Yusma Mohd Yusof berkata, lapan politeknik dari seluruh negara termasuk dari Terengganu terpilih menyertai program itu dan telah membuat pembentangan kertas kerja masing-masing dengan menggunakan kaedah Six Sigma Dmaic iaitu Define, Measure, Analyze, Improve dan Control.

“PSMZAT menang menerusi projek bertajuk ‘Langkah Mengatasi Kelemahan Sistem Wifi di Kolej Politeknik Sulatan Mizan Zainal Abidin’,” katanya.

Katanya, empat peserta mewakili pasukan ialah, Norhayaty Abdul Wahab,21; Mariyati Alwi, 21; Wan Nurul Amilah Ibrahim, 21 dan Fatimatuliyana Jusoh, 22, begitu teruja kerana terpaksa bersaing dengan puluhan peserta dari seluruh negara.

Menurutnya, sebelum sesi pembentangan diadakan semua peserta diberi kursus selama 12 hari yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman bagi mendalami kemahiran kaedah yang digunakan secara meluas dalam industri pekerjaan di Malaysia, selain negara maju lain bagi membantu pengurusan organisasi.

“Kursus ini memberi input berguna berkaitan kemahiran seperti komunikasi, persembahan dan kemahiran menghadapi temuduga pekerjaan,” katanya.