Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu menggerakkan usaha terancang melalui Projek Hulu Terengganu Cemerlang 2012 (HUTeC-2012) bagi memperkasakan pendidikan daerah pedalaman ini seiring dengan perkembangan arus perdana.
Penyelaras projek, Mohd. Yuseri Che Din memberitahu, HUTeC yang melibatkan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak bakal dilancarkan esok dan menyasarkan kecemerlangan kokurikulum dan sahsiah diri merangkumi semua aspek jasmani dan rohani.
"HUTeC-2012 merupakan lontaran idea Pegawai Pelajaran Daerah, Shafruddin Ali Husin yang cuba menggerakkan arus perubahan dengan lebih berkesan ke arah mencetuskan tradisi kecemerlangan dalam pendidikan di daerah ini," katanya semalam.
Katanya, projek itu turut berlandaskan 26 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merangkumi pembentukan sahsiah para guru dan pelajar, kecemerlangan dalam bidang koakademik, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) melalui Bai'ah sekolah menengah dan rendah di samping program Literasi dan Numerasi (LINUS).
Selain itu katanya, ia juga melibatkan penggunaan ICT secara menyeluruh, penghayatan dalam bidang keagamaan, penyelenggaraan projek pembangunan secara pintar dan peningkatan profesionalisme warga pendidik.
"Harapan itu tidak mustahil dicapai sekiranya mendapat sokongan seluruh warga pendidik dan pelajar bersama penyertaan menyeluruh pihak lain termasuk ibu bapa, agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan," ujarnya.
Katanya, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB. Mohd. Nor Othman akan menyempurnakan pelancaran projek selain turut memberikan peruntukan khas bagi menguruskan HUTeC-2012 dengan harapan ia menjadi nadi kebangkitan Hulu Terengganu dalam pelbagai bidang.