Halaman

25 March 2012

Sukan masyhurkan Terengganu di peta dunia

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu selaku kuasa baru sukan negara tidak pernah berhenti melahirkan atlit yang disegani dan mampu mencipta nama di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Faktor geografi Terengganu yang memiliki pantai, bukit serta kawasan bercerun mempengaruhi penglibatan ramai anak negeri ini dalam pelbagai bidang sukan, selain usaha padu Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menjadikan sukan antara bidang tumpuan.

Sukan berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) ke-17 2012 yang baru melabuh tirai memahat Terengganu selaku tuan rumah peringkat akhir penganjuran itu.

Lebih manis, sembilan pelumba kelahiran Terengganu, Anuar Manan, Mohamad Adiq Hussainie Othman, Mohd Harrif Salleh, Mohd Zamri Salleh, Mohd Nur Rizuan Zainal, Amir Mustafa Rusli, Ahmad Fallanie Ali, Mohd. Shahrul Mat Amin dan Mohd Saufi Mat Senan bergabung tenaga bagi menjayakan misi negara dalam LTdL edisi kali ini.

Atlit tersohor sukan berbasikal yang juga anak Terengganu, pelumba keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan ratu keirin, Fatehah Mustafa dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2011.

Azizulhasni dan Fatehah antara atlit negara yang terawal menempah tiket ke Olimpik, London dan mengiringi pasangan jaguh dunia itu, dua lagi atlit negeri ini bagi acara memanah iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim.

Selain itu, Terengganu juga menjadi tumpuan bagi penganjuran sukan ekstrim seperti Terengganu Starhill 4x4 Challenge, Motosikal Lasak Asia 2011, Perhentian Island Challenge, World Invitational Jetrace Challenge dan Rainforest Challenge International Terengganu 2011.

Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu, Lembah Bidong, Setiu pula menjadi antara lokasi utama dunia bagi penganjuran sukan berkuda seperti Kejohanan Malaysia –Thailand Open Endurance Challenge Trophy 11, RTES Endurance Ride dan Piala Sultan Mizan.

Lakaran kejayaaan lain, tanggal 11 dan 12 Jun tahun lalu, Terengganu menamatkan kemarau 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas menumpaskan negeri tetangga, Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Keesokan harinya pula mencipta rekod muncul juara kali ketiga berturut-turut temasya itu selepas meraih 30 emas, 8 perak dan 12 gangsa pada Sukma ke-14 Kuala Lumpur.

Pada Sukma 2008, Terengganu yang beraksi selaku tuan rumah meledak dengan pungutan 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa untuk muncul juara buat kali pertama, sekaligus menjarakkan jurang di kedudukan terbaik yang pernah diraih di tangga keenam pada Sukma Selangor 1998, selain 15 emas sebagai pungutan pingat terbanyak (Sukma Kedah 2006).

Kesinambungan `Terengganu Nelang’ dan `Terengganu Hanelang’ terus mempertahankan Terengganu selaku kuasa baru sukan negara untuk temasya edisi ke-13 Melaka, dua tahun lalu dengan pungutan 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Selain menyediakan habuan RM2.3 juta sebagai insentif dan biasiswa kepada atlit pelajar, Sukma Ke-14 serta pemain bola sepak Terengganu, kerajaan negeri turut memberikan cuti umum pada 19 Jun lalu sebagai hadiah buah seluruh rakyat yang sentiasa menyokong kepada kejayaan itu.

Usaha menjana kemajuan sukan negeri tidak pernah padam dan ini terbukti apabila sekolah sukan kedua dengan peruntukan RM25 juta yang mampu menampung 800 pelajar sedang dibangunkan di kawasan seluas lapan hektar berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.