Halaman

29 March 2012

JHEAT serah RM62,266.30 untuk Aman Palestin

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesengsaraan rakyat Palestin mendapat perhatian penduduk negeri ini apabila berjaya mengumpul sumbangan wang tunai RM62,266.30 daripada jemaah masjid seluruh Terengganu untuk diserahkan kepada penduduk di negara sedang bergolak itu.

Cek sumbangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri,
YB Haji Khazan Che Mat kepada Pengurus Aman Palestin Cawangan Terengganu, Encik Mohamad Sirojul Afkar Hamid, di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya JHEAT, Haji Rozali Saleh dan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi), Haji Omar Musa.

YB Haji Khazan berkata, JHEAT memainkan peranan membantu masyarakat Islam yang kurang bernasib baik dan ditimpa musibah seperti golongan anak yatim dan mangsa tsunami. Malah, bantuan itu juga melangkaui sempadan negara dan benua sebagaimana sumbangan derma kepada rakyat Palestin.

“Ini merupakan sumbangan dan tanggungjawab kita sebagai saudara seagama yang sentiasa menginsafi kehidupan dan membantu meringankan bebanan yang sedang dilalui oleh rakyat Palestin,” katanya.

Sementara Encik Mohamad Sirojul berkata, sumbangan yang diterima daripada JHEAT ini mampu menambah jumlah USD100,000 (RM306,450.39) yang disasarkan Aman Palestin untuk dibawa ke negara Arab itu.

“Dengan adanya sumbangan ini, ia diharap dapat menampung peruntukan kira-kira USD100,000 (RM306,450.39) yang diperlukan oleh Aman Palestin bagi diserahkan kepada rakyat Palestin menerusi misi ke negara itu yang melibatkan rombongan staf, penaja dan media pada April,” katanya.

Selain JHEAT pihaknya turut menerima derma daripada agensi lain termasuk sebelum ini, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yang menyerahkan sumbangan RM80,513.

Untuk rekod, Aman Palestin mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin.

Manakala cawangan di Terengganu mula dibuka sejak akhir 2009 dalam usaha mengembangkan saluran bantuan berkenaan.

Aman Palestin sentiasa berusaha memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat Malaysia tidak sahaja sampai malah kesemua bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin di Palestin.

Pada 3 Januari 2006, pendaftaran Palestin telah diluluskan secara rasmi dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama AMAN PALESTIN BERHAD sebagai sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan (non-profit organisation) bagi membantu rakyat Palestin secara kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.

Semenjak ditubuhkan, Aman Palestin telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk projek-projek kepada rakyat Palestin di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan dan sumbangan daripada orang ramai.

Diharapkan agar keperihatinan yang berterusan oleh rakyat Malaysia dalam menyalurkan bantuan dapat memberikan sinar harapan dan membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin.