Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah meluangkan masa bersama warga Kijal baru-baru ini, di Dewan Sivik Kijal sekaligus merasmikan Program Khas Khidmat Masyarakat ‘Kesihatan Mata’ (YPK).
Seramai 250 orang penerima telah mendapat bantuan cermin mata dengan kerjasama daripada Optometris Sanadi SDN BHD dan Twintech College University dibantu 25 orang pensyarah dan 15 pelajar.
Menurut Menteri Besar berharap dengan bantuan yang diberikan kerajaan, penerima tidak mudah lupa dengan bantuan yang diberikan dan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sedia ada agar kehidupan semua penduduk negeri ini bertambah baik.
Tuan Rohani Tuan Tengah, 55 yang merupakan ibu tunggal kepada lima orang anak berasa amat bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana masalah matanya yang rabun dekat telah membataskan segala pergerakannya seharian dan makin bertambah teruk apabila waktu malam.
“Alhamdulillah penglihatan saya kini jauh lebih baik daripada sebelumnya dan saya dapat melihat dengan lebih jelas lagi. Sekarang saya bebas bergerak kemana sahaja seolah-olah dikurniakan penglihatan yang baru,” katanya.
Bagi Tuan Kamalruddin Tuan Yusof, 71 yang lebih dikenali sebagai ‘Ayah Ngah’, Menteri Besar begitu prihatin terhadap pemasalahan rakyat lebih-lebih lagi golongan yang kurang berkemampuan.
Ayah Ngah yang tidak pernah berkahwin menetap bersama anak angkatnya Azuan Azizi, 24, di Kampung Darat Penunjuk Kijal begitu teruja dengan cermin mata barunya itu. Kehidupannya yang hanya cukup makan memaksa Ayah Ngah menggunakan cermin mata yang lama walaupun penglihatannya semakin teruk.
“Ayah Ngah begitu terharu dan berasa sangat gembira dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan berharap program sebegini diteruskan lagi lebih-lebih lagi kepada golongan yang memerlukan,” katanya yang begitu teruja bersalaman dengan Menteri Besar di atas pentas.