Kerajaan negeri mensasarkan untuk menarik lebih empat juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata untuk tujuan itu kerajaan akan memperhebatkan promosi terutama untuk menarik pengunjung ke kawasan pelancongan Tasik Kenyir.
“Sasaran kita untuk menarik lebih empat juta pelancong pada TMT 2013. Tahun lepas Terengganu dikunjungi 3.8 juta pelancong manakala sasaran untuk tahun ini 3.9 juta,” katanya.
YB Dato’Abdul Rahin berkata untuk TMT 2013, kerajaan akan mengadakan pertandingan mencipta logo TMT 2013 yang dibuka kepada penuntut Art & Design Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertemakan `Aspirasi Darul Iman — Satu Idea Seribu Harapan'.
“TMT 2013 juga akan mengetengahkan sukan lasak seperti pertandingan pacuan empat roda, buggy air serta pertandingan tradisional seperti perahu panjang.
“Penganjuran pelbagai sukan lasak di peringkat nasional mahupun antarabangsa akan terus dikekalkan kerana mahu menarik lebih ramai pelancongu sekaligus dapat merealisasikan TMT 2013,” katanya.