Misi Terengganu masih berliku untuk bertemu Lions XII FC di perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Singapura malam ini sekalipun mempunyai kelebihan satu gol.
Jurulatih skuad itu, Mat Zan Mat Aris berkata, ini kerana perlawanan itu akan menentukan kedudukan Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 sama ada hidup atau mati dalam kejohanan kali ini.
Beliau berkata, kunjungan skuad Penyu ke Singapura merupakan satu misi yang amat sukar, lebih-lebih lagi dengan modal yang amat kecil.
“Memang kita tidak selamat dengan kelebihan satu gol, tetapi kita akan mempertahankan kemenangan itu sehingga ke wisel penamat,” katanya kepada pemberita di sini.
Terengganu mengalahkan Lion XII FC 1-0 dalam pertemuan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lalu hasil jaringan pemain tengah Joseph Kalang Tie pada minit ke 65 separuh masa kedua.