Gambar oleh Zulkipli Putra
Kerajaan negeri telah membahagikan e-Book kepada semua murid dari Tahun 4 hingga Tahun 6 manakala guru-guru pula bersengkang mata bagi memastikan penggunaannya dan perisian TSKOR dimanfaatkan sebaik mungkin.
Justeru itu, ibu bapa perlu memainkan peranan utama di rumah bagi memastikan satu-satunya pemberian kerajaan itu dijaga dengan baik, demi kecermelangan anak-anak mereka.
“Ruang dan peluang yang ada juga boleh diambil ibu bapa untuk mempelajari komputer dengan meminjam e-Book itu dan anak-anak yang mahir boleh membimbing ibu bapa menggunakannya,” kata Ketua Sektor Pendidikan Jabatan Pelajaran negeri, Haji Mohd Zuber Embong.
“Anak-anak hari ini adalah generasi siber dan mereka tidak fobia dengan teknologi dan mesin,” katanya pada majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun Empat bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Katanya, sehingga ini 100,000 unit e-Book telah diagih kepada pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam seluruh negeri dan 4,100 guru Tahun Enam pula telah menerima pemberian komputer riba daripada kerajaan negeri tahun lalu.
“Tahun ini seramai 3,100 guru Tahun Lima akan menerima pemberian yang sama dan kita yakin semua guru dapat memilikinya untuk membantu meningkatkan pembelajaran pelajar di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, sebagai pelengkap kepada program e-Book, seramai 349 Executive Information Officer (EIO) di semua sekolah rendah dan 82 orang di sekolah menengah bagi melancarkan perjalanan program berkenaan sekali gus memberi pekerjaan kepada anak tempatan.
Tambahnya, pelajar yang dilahirkan di negeri ini merupakan golongan paling bertuah kerana kerajaan menyediakan segala kemudahan pembelajaran serta wang untuk meningkatkan pencapaian dalam pelajaran.
“Marilah sama-sama kita lakukan tranformasi peradaban dan budaya mulia, bersyukur kepada yang memberi dan realisasikan hasrat kerajaan untuk capai 201052 serta mengangkat Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” katanya.