Halaman

25 March 2012

Bina Muzium Batu Bersurat di Kuala Berang

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi membina Muzium Batu Bersurat di lokasi penemuan Batu Bersurat, Kampung Buluh, Kuala Berang pada tahun depan.

Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pembinaan muzium di kawasan seluas 2.8 hektar itu cukup penting kerana bukan saja mampu memulihara aset pelancongan malah dapat memartabatkan tulisan jawi di mata masyarakat.

“Pihak kami bercadang setiap bahan atau atifak yang dipamerkan akan diperjelaskan dengan tulisan jawi selain papan tanda menuju ke muzium itu turut dilengkapi perkataan jawi berserta rumi.

“Muzium batu Bersurat turut meliputi dewan orang ramai, pusat aktiviti masyarakat, dan bilik pameran perkembangan Islam dan sejarah Islam sebagai langkah mempelbagaikan kemudahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Batu Bersurat di Muzium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Kira-kira 200 peserta dari pelbagai agensi dan Badan Bukan Kerajaan hadir pada seminar sehari itu bagi mendalami ilmu dan mendengar pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh enam individu profesional dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi Awam.

YB Haji Muhammad, apa yang dilaksanakan ini, bukan untuk memartabatkan Batu Bersurat sebaliknya mahu orang ramai menilai betapa berharganya sejarah, ilmu dan isi kandungan yang diukir pada batu itu.

“Pembinanya amat bertepatan, apatah lagi Batu Bersurat Piagam Terengganu juga diiktiraf sebagai salah satu daftar Memori Dunia yang telah diberikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco),” katanya.