Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan penganjuran program dan acara oleh pelbagai pihak yang bukan saja akan memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri, tetapi juga limpahan pendapatan untuk rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong program dan acara yang memberi manfaat kepada rakyat dan Karnival Jom Heboh TV3 antara satu program yang memenuhi kriteria itu.
"Karnival sebegini sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga dan dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan memanfaatkan aktiviti hujung minggu.
"Kerajaan negeri menyambut baik usaha pihak swasta seperti TV3 menganjurkan karnival ini yang diisi dengan pelbagai program bermanfaat yang boleh disertai seisi keluarga.
"Lebih penting, ia juga memberi pulangan ekonomi kepada rakyat yang boleh mengambil peluang berniaga di tapak karnival besar seperti ini yang menarik kunjungan ramai," katanya yang mengadakan lawatan ke tapak Karnival Jom Heboh TV3 di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar dan Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar.
Karnival Jom Heboh TV3 selama dua hari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik di gerai kendalian TV3 seperti Studio Cereka, Wanita Inspirasiku, Bananana TV3, MyTV3 dan Kota Ilmu yang memuatkan segala maklumat, selain gerai lain seperti Hotlink, Nestle dan Ribena.