Halaman

25 March 2012

Jangan turutkan emosi, kelak padah menanti - penyokong Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap tidak profesional segelintir penyokong fanatik yang bertindak membaling objek ke dalam padang sehingga terkena penjaga garisan ketika perlawanan suku akhir pertama tuan rumah menentang Lion XII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi menimbulkan rasa kecewa rata-rata peminat bola sepak Terengganu.

Insiden beberapa saat yang tercetus gara-gara perasaan tidak puas hati penyokong terhadap mutu pengadilan memaksa pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar menghentikan perlawanan seketika.

Seorang penyokong pasukan Terengganu, Mazlan Yahya, 26, dari Kampung Pengadang Baru, berkata sepatutnya mentaliti masyarakat hari ini juga berubah seiring dengan pembangunan sukan bola sepak, sekaligus tindakan membaling objek ke tengah padang tidak lagi berlaku pada masa kini.

“Bagi melihat kemajuan sukan, terutama bola sepak terus membangun, kita sebagai peminat harus menunjukkan sokongan moral yang tinggi. Usah terlalu mengikut emosi kerana yang rugi kita dan pasukan kita sendiri.

“Soal mutu pengadilan atau corak perlawanan yang tidak memihak kepada kita itu perlulah dipertikai dengan berhemah dan bukan secara membabi-buta sehingga menyusahkan ramai pihak,” katanya.

Sementara Hafizuddin Jusoh, 23, dari Kampung Hiliran, berkata cukuplah perasaan marah itu diluahkan dengan cara dan budaya kita sebagai masyarakat Melayu yang berjiwa besar dan berbudi bahasa.
Katanya, jangan kerana terlalu taksub dan mengikut nafsu, diri sendiri yang merana dan menerima hukuman akibat melakukan sesuatu yang menyalahi undang-uandang.

“Tindakan kita membaling objek mungkin boleh mencederakan orang lain, sama ada pengadil mahupun pemain sendiri. Perlawanan pastinya tergendala dan itu esuatu yang merugikan. Malah, persatuan bola sepak juga mungkin berdepan dengan tindakan denda akibat kesilapan penyokong,” katanya.

Seorang peminat wanita, Malina Ali, 37, dari Setiu, pula berharap insiden itu tidak berulang lagi kerana ia akan menerencatkan kemeriahan persaingan bola sepak itu sendiri.

“Kalau insiden melempar objek itu berlaku menyebabkan perlawanan tertangguh dan itu akan membantutkan semangat kita ketika sedang bersemangat memberi sokongan kepada pasukan kita.

“Apatah lagi, Terenganu dan T-Team kini sudahpun melangkah ke suku akhir Piala FA, sepatutnya kita sebagai penyokong setia perlu meningkatkan disiplin dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi bagi melihat pasukan kita terus melangkah lebih jauh dan mencapai kejuaraan,” katanya.