Gambar oleh Zulkipli Putra
Masyarakat setempat di negeri ini di minta prihatin dan memandang serius mengenai jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran supaya tidak terus berleluasa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kes seumpama itu tidak wajar dipandang remeh kerana ia boleh membabitkan nyawa dan maruah jika seseorang itu mengambil sikap sambil lewa.
Beliau berkata demikian di Majlis Kempen Antipemerdagangan Orang & Pnyeludupan Migran peringkat Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Naid Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Zon Timur, YB Senator, Dato’ Maznah Mazlan dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Wahad Mohd Yasin.
Kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan hadir pada majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama NCWO dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.
Katanya, keprihatinan dan kerjasama setempat memudahkan pihak berkuasa menyelesaikan kes-kes jenayah, termasuk di luar sempadan dengan maklumat yang diberikan.
“Sebagai masyarakat, kita perlu timbul rasa tanggungjawab untuk mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan dan harga diri,” katanya.
