Halaman

31 March 2012

IKBN Kemasik meterai MoU dengan 12 Industri

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 12 pihak industri agar lebih ramai tenaga mahir dapat dilahirkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menaik taraf bidang kemahiran dan sosial ekonomi negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dengan termeterainya MoU berkenaan pihak industri akan berkerjasama dengan pihak IKBN Kemasik bagi mengeluarkan tenaga mahir dalam pelbagai bidang yang ditawarkan di institut itu sekali gus menjadi petanda baik kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta.

Menurutnya, pihak industri yang terlibat ialah Awana Kijal Beach & Golf Resort, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), Kelab Golf dan Rekreasi Petronas (KGRP), Ranaco Group Of Companies Sdn Bhd dan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd (Komita).

Selain itu ia turut melibatkan CIMB Bank Bhd, Akrab Consultancy, Ziq Bakery & Cake, Residence In Cherating, Digi Colour Proshop, Nik Unisex Hair & Beauty Saloon dan Persatuan Kontraktor Daerah Kemaman.

“Semoga langkah yang diambil IKBN Kemasik ini dicontohi IKBN yang lain dalam transformasi ekonomi bersama Model Ekonomi Baru agar kita mampu mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi pada 2020 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU terbabit dan merasmikan Program Gerbang Kerjaya IKBN Kemasik yang diadakan di Kemaman baru-baru ini.

Program Gerbang Kerjaya itu pertama kali dianjurkan IKBN Kemasik tahun ini sekali gus menjadi saluran yang bukan sahaja memberi pendedahan tentang peluang kerjaya, malah membuka ruang kepada pihak industri untuk memilih calon yang layak dalam bidang kepakaran yang diperlukan.

Dalam pada itu, mengenai pemeteraian MoU, Pengarah IKBN Kemasik, Mohd Zaki Mahmud berkata dengan inisiatif itu pihak industri dapat bekerjasama dengan pihak IKBN Kemasik dalam mendokong, visi, misi, dan objektif yang digariskan dalam melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran dan berpengetahuan serta personaliti unggul.