Gambar oleh Zulkipli Putra
Sikap pemimpin Pas yang pendendam menjadi punca kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum tahun 2004.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas menang pada PRU tahun 1999, Pas melakukan bermacam-macam kezaliman seperti menghalau kanak-kanak dari kelas-kelas tadika dan memotong elaun guru-guru agama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pesara Kanan Kerajaan di Kediaman Seri Iman, malam ini.
Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Presiden Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat.
“Selepas kita menang kita lakukan pelbagai program untuk rakyat tanpa pilih kasih dan ideologi politik,” katanya.
Justeru itu, katanya, BN menang lagi pada Pilihan Raya Umum 2008 selepas berjaya menjatuhkan Kerajaan Pas pada 2004 dan pihaknya yakin BN akan meneruskan rentak kemenangan ini pada PRU Ke-13.
“Saya harap semua pesara kerajaan menyokong kerajaan BN dan sama-sama membantu menyumbang tenaga bagi memastikan calon-calon BN menang pada pilihan raya ke-13 nanti,” katanya.
