Halaman

25 March 2012

Ukom jadi jambatan hubungkan kerajaan dan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai agensi yang bermatlamat menjadi `jambatan' bagi menghubungkan kerajaan negeri dengan rakyat secara lebih dekat dan tepat, Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi mencapai hasrat itu.

Pengarahnya, Haji Shamsuddin Sulong, berkata kira-kira RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjayakan pelbagai program publisiti, penerangan serta komunikasi sepanjang tahun ini.

Katanya, antara program dilaksanakan termasuk Kuiz Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu menerusi Radio Terengganu FM merangkumi lima siri, Program Bicara Bersama Media (15 siri), Forum Isu Semasa (lapan siri), Jelajah Bersama Media (lapan siri), Majlis Mesra Media Menteri Besar Bersama Blogger dan Rakan Facebook, Majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2012 serta penerbitan buku 2012 (tiga siri).


“Daripada pelbagai program yang sudah dan bakal dilaksanakan sepanjang 2012 itu, jelas Ukom mahu membentuk satu medium dan suasana komunikasi interpersonal yang proaktif dan positif serta bersifat sejagat.


“Pada masa yang sama kita mahu memupuk dan membentuk komunikasi masyarakat Terengganu yang terbilang, selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT),” katanya.

Beliau berkata, Ukom berusaha untuk memberi perkhidmatan komunikasi, berkualiti, tepat semasa serta mudah difahami khususnya melalui berita tanpa had waktu menerusi portal, blog dan juga buletin Teganukita yang diterbitkan dua kali sebulan.

Selain itu, katanya objektif penubuhan Ukom tidak terhad di situ sahaja , malah turut menghasilkan bahan penerbitan semasa yang bermutu,selain khidmat perhubungan awam yang berkesan dan profesional khususnya dalam menyampaikan dasar dan perkembangan kerajaan negeri.

“Ukom juga menjadi agensi yang bertanggungjawab menyediakan khidmat kepakaran komunikasi dalam rekabentuk fotografi, audio visual untuk acara penting dan pameran yang bermutu serta menarik,” katanya lagi.